Arahan vs Pilihan

Kringggg… Jam menunjukkan jam 9.40 pagi menandakan waktu rehat bermula. Cikgu Sara merenung kosong buku rekod mengajarnya yang sarat dengan aktiviti. 15 minit lagi dia perlu berhadapan dengan 35 orang pelajar 2 Bukhari, kelas keenam dalam tingkatan. Kelas terakhir inilah yang banyak sebenar mengajarnya erti seorang guru. Merekalah paling bising dan susah dikawal. Merekalah yang selalu disebut di dalam mesyuarat guru lantaran sillibus tidak sempat dihabiskan. Merekalah yang menyebabkan merudumnya gred purata sekolah. Tetapi mereka jualah yang bertanya khabar di kala muka guru kelihatan pucat lantaran tidak sempat makan. Mereka jualah yang menawarkan khidmat mengangkat buku-buku berat dalam gendongan guru. Mereka jualah yang memuji cantik tatkala guru menukar cermin mata baru.

“Ok, kelas! Seminggu lagi peperiksaan akhir tahun akan bermula. Kamu semua perlu mengulang kaji semua topik yang telah dipelajari”. “Semua topik masuk exam ke, cikgu?” Kedengaran keluhan di hujung suara beberapa pelajar di barisan belakang. “Jadi, hari ni kita nak buat latihan Lokus Dalam Dua Matra atau Pembinaan?” Senyap. Masing-masing membuka bekas pensel memeriksa set geometri yang hilang entah ke mana. “Ok, tak apa pelajar. Kalau tak ada peralatan hari ni, kita akan buat ulang kaji. Kamu nak tajuk Statistik atau Ungkapan Algebra?” “Statistik,” jawab mereka serentak. Masing-masing bersedia dengan buku nota dan buku latihan. Beginilah salah satu senario proses pendidikan. Bukan sahaja praktikalnya di dalam kelas tetapi juga di rumah, iaitu terhadap anak-anak kita, permata ayah bonda. Cuba kita bayangkan dialog di atas berbunyi, “Ok, kelas! Seminggu lagi peperiksaan akhir tahun akan bermula. Kamu semua perlu mengulang kaji semua topik yang telah dipelajari. Jadi, hari ni kita akan buat latihan Lokus Dalam Dua Matra. Siapkan soalan subjektif 1 hingga 15. Hantar hari ini juga.” Agak-agak apakah reaksi mereka? Mungkin ada yang menurut tapi dengan beratnya hati, penuh terpaksa. Mungkin juga ada yang menyiapkan dengan cara meniru kawan sebelah atau hanya menyalin jawapan rakan yang dirasakan geliga. Berbeza dengan situasi pertama; bila mana kuasa memilih di tangan mereka. Teruja. Gembira. Tugas diterima penuh bahagia. Kepuasan melaksanakannya memenuhi ruang dada. Anak zaman millenia ini perlu diberi pilihan, bukan lagi arahan seperti zaman didikan kita dahulu yang mana ketaatan terhasil apabila dimulakan dengan ketakutan. Peluang membuat pilihan ini sebenarnya banyak memberi pengalaman kepada mereka; menilai, menaakul dan menimbang tara. Cabaran mendatang dihadapi penuh kecekalan kerana kesediaan dan kerelaan sendiri. Ayuh, marilah kita ubah paradigma mendidik anak. Sesuai dengan pesanan Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua, Saidina Umar Al Khattab, “Didiklah anak-anakmu kerana mereka akan hidup pada zaman yang berbeza dengan zamanmu”. Didiklah anugerah Allah ini mengenal Pencipta. Bimbinglah amanah Allah ini menelusuri denai kehidupan, menempuh mehnah dunia hingga saling berpimpinan tangan menuju jannah. Pendidikan adalah proses. Proses adalah jalan panjang yang hasilnya takkan dapat dituai dalam sekelip mata. “Selepas solat nanti, abang ngah nak baca surah an-Nazi’at atau surah al-Buruj?” Berilah mereka pilihan bukan hanya arahan yang bersifat sehala.

Kanvas sudah di depan mata. Pallet ada di tangan kita. Putih, merah, kelabu atau jingga, kitalah yang mencorak dan mewarnainya. Kerana Rasulullah telah bersabda yang mafhumnya, “Setiap bayi yang lahir itu dilahirkan seperti kain putih. Terserah kepada ibu bapanya untuk menjadikan dia Yahudi atau Nasrani ataupun Majusi”. (Hadis riwayat Bukhari)

Nukilan,
Ustazah Wan Nor Anisah binti Wan Abdullah
AJK BKM ISMA Seberang Perai Utara