Adab Meminta Izin Dalam Keluarga

SUNGA DUA, 18 Disember- Usrah Wanita ISMA Cawangan Seberang Perai Utara (SPU) diteruskan dengan kupasan dan perbincangan menarik tafsir surah An-Nur ayat 58 sehingga 60 oleh Ustazah Norhayati Abdul Wahab bertempat di Kampung Pengkalan Machang, Sungai Dua Pulau Pinang.

Di dalam ayat ke-58 , Allah s.w.t memerintahkan orang – orang beriman, agar mendidik anak-anak yang belum baligh dan juga pembantu rumah dengan adab meminta izin sebelum masuk ke dalam  bilik ibu bapa pada tiga waktu, iaitu sebelum subuh, tengah hari dan selepas waktu isyak  kerana dikhuatiri terlihat aurat ibu bapa ketika itu.

“Dalam kehidupan berkeluarga, Islam amat menitikberatkan adab meminta izin untuk menjaga pandangan kanak-kanak yang belum baligh kerana pandangan tersebut boleh mempengaruhi kehidupan dan akhlak mereka.  Saat anak – anak kecil lagi, ibu bapa di minta supaya menjaga pandangan anak-anak apatah lagi apabila mereka sudah dewasa, perlu meminta izin setiap kali ingin masuk ke dalam bilik ibu bapa,” jelas Ustazah Norhayati Abdul Wahab.

Tambah beliau lagi, hukum ini amat dekat  dengan situasi anak-anak pada masa kini yang  dapat menonton tayangan dan adegan yang tidak sepatutnya  dengan mudah seiring kemajuan dan kecanggihan teknologi . Justeru itu, ibu bapa bertanggungjawab mengawal tindakan anak-anak supaya mereka membesar dengan hati dan fikiran yang bersih dan sihat.

Ayat ke-60 pula menjelaskan kepada kita bahawa, Allah s.w.t memberi sedikit kelonggaran kepada perempuan yang telah berusia, tidak bernafsu kepada lelaki dan tidak mempunyai daya tarikan untuk berpakaian cantik dan berhias tetapi masih tetap menutup aurat dengan sempurna.

Hal ini kerana, orang-orang Arab dahulunya memakai  pakaian di dalam yang lebih cantik dan juga pakaian luar yang menutup perhiasan mereka. Allah membolehkan mereka mengenakan pakaian yang di dalam namun menegaskan bahawa mengenakan kedua-dua pakaian adalah lebih baik untuk menjaga kesucian dan kehormatan diri.

Oleh Siti Nurfarhana Binti Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita ISMA Pulau Pinang