Wanita perlu sedar ancaman liberalisme dan feminisme

semanis

Kepala Batas, 16 Safar 1438H, Rabu-“Wanita muslimah mesti sedar bahawa serangan pemikiran telah dilancarkan oleh golongan yang prejudis terhadap syariat dan berniat jahat terhadap Islam”

“Terdapat dua bentuk serangan pemikiran yang dihadapi oleh wanita iaitu liberalisme dan feminisme,” jelas Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar di Seminar Wanita Solehah (SEMANIS) anjuran Biro Wanita ISMA Seberang Perai Utara (SPU).

Pemikiran liberal yang mengandungi fahaman-fahaman yang menyeleweng dari aspek aqidah dan syariah mempunyai lima ciri. Pertama, sekularisasi dan sekularisma iaitu pemisahan negara dan pemerintah dari institusi agama dan agamawan, kedua, pluralisma agama, ketiga, mengkritik teks al-Quran, keempat, hermeneutika iaitu methodologi penafsiran bible dan kelima, gerakan feminism.

Feminism yang juga berasal dari barat menekankan kesamarataan gender dari sudut sosial, ekonomi dan politik sering disogokkan kepada golongan wanita untuk menjadikan mereka hamba kepada nafsu dan sistem kapitalis contohnya wanita mesti berfesyen dan bersolek. Menurut golongan feminisme, wanita tidak boleh bergantung hidup kepada lelaki dalam soal keperluan  hidup sehinggalah kepada kepuasan seksual dan mereka turut memperjuangkan LGBT.

Di Malaysia, perjuangan ini dipelopori oleh Sister In Islam (SIS) yang mempersoalkan keadilan undang-undang  hudud ke atas wanita,  membantah hukuman sebat ke atas pesalah sumbang mahram, menyokong kebebasan menukar agama bagi muslim, menyokong peserta Muslim menyertai pertandingan ratu cantik dan mempertikaikan sistem fatwa di Malaysia.

Sementara itu, panelis kedua, Ustazah Norakhilah Baharin berpesan supaya wanita muslimah mempunyai jati diri yang kuat supaya jelas tidak terpengaruh dengan ancaman liberalisme dan feminisme.

“Dalam mendepani ancaman ini, wanita muslimah perlu kepada prinsip asas kualiti peribadi iaitu mengenal dan meyakini pencipta yang maha agung dan mempunyai ciri-ciri wanita yang berjaya  iaitu  mempunyai wawasan yang jelas dan kefahaman Islam yang kukuh. Wanita bukan sahaja perlu cekap, cekal dan kuat mengurus rumahtangga tetapi juga pendidik yang bijak berinteraksi  dengan fitrah manusia bagi membina anak-anak dan keluarga yang hebat mengikut acuan Islam.” ujar Ustazah Norakhilah Baharin dalam sesi kedua.

Sesungguhnya, Islam telah menyediakan dan menggariskan undang-undang  yang bertepatan dengan fitrah kejadian manusia dan menolak perhambaan kepada nafsu semata-mata seperti yang telah dibawa oleh golongan liberalisme dan feminisme. Wanita muslimah perlu mempunyai jati diri yang hebat dan kefahaman yang jelas untuk membawa agenda Islam dan membidas serangan pemikiran yang menular dalam masyarakat.

Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro WANITA
ISMA Seberang Perai Utara