Tarbiah tiada noktah

tarbiah_tiada_noktah_1
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Pepatah Melayu begitu seakan sinonim dan enggan berjauhan dengan susuk tubuh ini. Sekembali ke tanah air selepas berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadis) di Universiti al-Azhar, beliau mula menabur bakti sebagai seorang pendidik di Bumi Kenyalang.

Ayuh kita telusuri bersama perjalanan hidup beliau. Moga dapat kita jadikan teladan dan pemangkin hidup. Gerangan yang dimaksudkan adalah Ustazah Norhayati Abdul Wahab. Beliau merupakan Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) dan menyambung legasinya sebagai pendidik kini di SMK Dato’ Lela Pahlawan, Padang Serai, Kedah. Dalam kesibukannya sebagai wanita bekerjaya dan aktif berpersatuan, beliau tidak pernah lokek untuk mengisi sisa-sisa masanya dengan memasak dan menjahit.

Jodoh pertemuan semuanya rahsia Allah. Bertemu jodoh dengan pasangan hidupnya di Mesir, pada usia muda , beliau melangsungkan perkahwinan dengan Ustaz Muhamad Yusuf dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata di sana.

Menjadi lebih baik

Kegagalan, kesilapan, kesalahan semua itu hakikatnya merupakan pengajaran halus secara tidak langsung daripada Allah SWT. Daripada semua itu, kita belajar, mengambil iktibar untuk menjadi lebih baik. Jika sayang manusia kepada seseorang lainnya dengan memberi hadiah, sayang Allah kepada hambanya dengan memberi hidayah. Malah, antara tanda-tanda kasih sayang Allah kepada hambanya adalah, Dia memberikan ujian untuk menjadikan mereka lebih baik.

Mengenal tarbiah

Tak kenal maka tak cinta. Sudah kenal, semakin jatuh cinta. Titik tolaknya bermula pada sekitar tahun 1981 hingga1982. Melanjutkan pengajian menengah yang pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Kangar, Perlis. Di sana, beliau berkawan rapat dengan seorang ustazah bernama Almarhumah Ustazah Aishah. Beliau membawa ke kelas mingguan Almarhum Ustaz Dahlan Perlis. Di sinilah, perjalanan mula dilakar.

Keakraban mereka tidak berhenti di situ sahaja. Malah, terus bertaut meskipun pada tahun 1983 hingga1986, beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Klang sehingga menamatkan pengajian di Tingkatan 6 Atas. Beliau berjinak-jinak dengan usrah yang dibawa oleh senior sewaktu di sana. Ketika kawan-kawan lain bersuka ria keluar membeli barang, makan dan sebagainya, lain pula perihal beliau. Hujung minggu, beliau sibuk dengan pelbagai aktiviti tarbiah. Adakalanya, masa beliau diisi dengan usrah, perkhemahan dan lain-lain.

Seterusnya pada tahun 1987, berbekalkan keputusan yang cemerlang dalam SPM, beliau mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke Mesir. Seakan pucuk dicita ulam mendatang, beliau sangat berbesar hati menerima tawaran tersebut. Masakan tidak, cita-cita ke sana sudah lama dipendam jauh ke lubuk hati. Hinggakan, tawaran ke Universiti Oxford yang gah itupun ditolak jauh. Bahkan, tawaran ke Universiti Malaya dalam bidang Usuluddin pun ditolak ketepi. Bila hati hendak, semuanya jadi. Semangat berkobar-kobar hendak ke Mesir akhirnya membawa ke sana juga. Tarbiah yang diperoleh terus berjalan lancar di bumi anbiyak ini.

Kelangsungan tarbiah di sana berjalan atas jasa Ustaz Zawawi yang memberi nama kepada ikhwah dan akhawat di Mesir. Seterusnya, merancakkan dan mewarnai lagi perjalanan tarbiah. Sekembalinya beliau ke Malaysia lapan tahun kemudian dan sehingga kini, masih terus beristiqamah dan bergiat aktif dengan apa yang dilaluinya sedari remaja.

Sepanjang penglibatannya dalam NGO ini, hanya satu jawatan sahaja yang pernah disandang bermula pada tahun 2007 sebagai Ketua Wanita ISMA Kepala Batas. Seterusnya, pada tahun 2010 hingga sekarang menggalas amanah sebagai Ketua Wanita ISMA SPU. Selain daripada itu, tiada jawatan lain yang pernah digalas.

Kenangan manis dan pahit

Manis

Pahit manis sudah menjadi rencah hidup. Bahkan, hidup lebih berwarna-warni dan penuh pengertian apabila berpeluang bertalaqqi ilmu daripada para ulamak Al-Azhar merupakan saat yang terindah. Semua cerdik pandai ini bukan calang-calang orang. Rata-ratanya memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD), hafiz dan hafizah al-Quran. Bukan mudah untuk berada pada tahapan ini. Di kala mahasiswa mahasiswi Malaysia berkejar-kejar ke kuliah, lain pula perihal beliau di sana. Tiada tekanan dalam menuntut ilmu disebabkan kehadiran ke kuliah tidak diambil kira sebagai markah. Kesannya, proses menimba ilmu lebih menyeronokkan dan terasa kemeriahannya. Kemeriahan menjadi kian manis apabila menghadiri kuliah hanya di musim sejuk. Manakala pada musim panas sudah memasuki musim cuti. Sewaktu cuti, masa banyak dipenuhkan dengan menambah ilmu dengan kelas tambahan daripada guru-guru Arab dan para senior. Sepanjang tujuh tahun berada di Mesir, beliau tidak pernah pulang bercuti di Malaysia kerana akur kehendak ayah. Tidak boleh pulang tanpa segulung ijazah.

Pahit

Di sebalik kejayaan yang digenggam kini, sebenarnya tersirat kegagalan yang menjadi pencetus kejayaan. Beliau sendiri tidak pernah menyangka akan mengalami kegagalan dalam tiga subjek semasa di tahun satu. Sedangkan syarat untuk naik ke tahun dua, sekurang-kurangnya gagal dua subjek. Justeru, beliau terpaksa mengulangi setahun lagi dengan tiga subjek yang gagal tersebut. Banyaknya masa terluang apabila kuliah hanya tiga subjek. Dengan masa yang ada itu, beliau memanfaatkannya dengan menimba ilmu.

Pada tahun ketiga, beliau bertemu jodoh, berkahwin dan melahirkan anak di sana. Bukan mudah untuk memainkan peranan yang semakin bertambah ini. Sebagai seorang isteri, ibu dan mahasiswi. Berkat perkahwinan yang dibina, beliau ditakdirkan lulus pada tahun tiga ulangan dan pada tahun empat mendapat jayyid dengan kepujian. Rahsia kecemerlangannya adalah, suami menolong membuat nota, ajar dan mengasuh anak ketika beliau ke kuliah.

Pernah dinobatkan pelajar terbaik semasa Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Tidak pernah gagal sepanjang pengajian di Malaysia, tetapi pabila diuji gagal pada tahun satu dan tiga ketika pengajian di Mesir, memang terasa sangat pahit dan peritnya.

Tetapi, beliau menyedari kemanisannya apabila mengenang kembali niat awal sebelum ke Mesir. Pernah beliau menyebut dan memasang niat ingin bermastautin di sana selama tujuh tahun. Kata orang, bumi Mesir sama seperti bumi Mekah, apa yang kita niatkan, akan dapat. Jadi, gagal merupakan sebab dan asbab untuk beliau tinggal lama di bumi kinanah. Dapat menimba ilmu, tarbiah dan pengalaman berkahwin dan menimang cahaya mata di sana.

Tokoh hebat di luar negara

Sewaktu berada di Mesir, beliau berpeluang bertemu seorang tokoh imam yang hebat dan disegani iaitu Imam Muhammad Jibril. Setiap kali Ramadan tiba, beliau tidak melepaskan peluang berkejar ke masjid yang diimamkan oleh Imam Jibril. Suaranya yang sangat memukau, menyentuh keimanan dengan bacaan satu juz setiap malam terawih menjadi sebab beliau tertarik untuk mengikuti imam tersebut. Bahkan, tazkirah yang diberikan sangat menyentuh dan berkesan di hati.

Kenangan manis dan pahit bersama ISMA

Sepanjang berada dalam dakwah dan tarbiah ISMA, semuanya manis belaka. Terutamanya semasa meghadapi Pilihan Raya PRU 13 (2013) di Parlimen Padang Serai menjadi pilihan ISMA bertanding. Rumah Ustazah menjadi markas PRU. Akhawat datang dan pergi. Siang dan malam menjadi tempat berkumpul, makan dan tidur bersama-sama. Mendapat kunjungan daripada para akhawat SPU, dari Kelantan dan Selangor. Sungguh, kenangan itu akan terus terpahat dalam memori dan sukar dilupai.

Dalam manis, pasti ada terselit sedikit pahitnya. Pahit itu hanya kenangan apabila di tohmah ketika berkempen. Memang sudah lumrah alam, jika sesuatu yang baru ditonjolkan dan tidak pula berkenan di hati, pasti ada penolakan dan penerimaan.

Lima perkara untuk wanita ke hadapan

Pesan tokoh wanita ISMA SPU ini, dalam kerangka untuk bergerak dan maju pada masa hadapan, para wanita perlu memiliki, menghayati dan memahami lima perkara ini iaitu:
1. Faham tentang Islam dan tuntutannya.
2. Istiqamah dalam tarbiah dan jalan dakwah.
3. Mujahadah melawan nafsu untuk menjadi hamba yang taat dan diredainya.
4. Faham kejadian wanita, fungsi tanggungjawab yang Allah tetapkan.
5. Faham syurga wanita tetap di bawah tapak kaki suami dan fahamkan syurga suami di bawah tapak kaki ibunya seterusnya tanamkan kefahaman tersebut kepada anak-anak lelaki dan perempuan.

Oleh Nur Husnuzzan Azizan dan Azidatul Anis Aziz
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU).