Sang Raja di Rumah

Sehelai kain putih dicorakkan dengan teliti, pelbagai motif alam berwarna-warni, indah persis kehijauan taman flora duniawi ciptaan Illahi. Manakala, ada pula kain putih dicorakkan dengan contengan-contengan hitam, hodoh lantaran marah, penuh dendam. Maka, ternodalah kain yang suci itu tadi.

Itulah ibarat anak kecil yang dilahirkan suci bersih. Ibu bapalah pencorak kehidupan mereka. Kata Rasulullah SAW, “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih, maka kedua ibu bapalah yang akan membentuk anak-anak ini menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

sang_raja_bayi_2

Cabaran mendidik anak pada masa kini sudah banyak perbezaannya dengan zaman nenek kita dahulu. Kalau dahulu, anak-anak kecil bebas bermain bersama teman-teman mereka di halaman rumah. Tetapi kini, kes penculikan kanak-kanak berleluasa. Bermain di luar rumah bukan lagi aktiviti yang selamat. Sepertinya, kemajuan teknologi dunia semakin ke hadapan tetapi akhlak dan nilai norma masyarakat semakin mundur ke belakang.

Fasa Permulaan Bayi

Pada peringkat bayi, makanan yang berkhasiat merupakan keperluan yang sangat penting untuk mereka membesar dengan baik. Susu ibu menjadi makanan kelas pertama buat si manja dan menguatkan sistem imunisasi bayi daripada serangan penyakit.

Susu ibu yang dikeluarkan pada hari pertama hingga hari ketiga selepas bersalin dikenali sebagai kolostrum dan sangat penting untuk kesihatan bayi kerana ianya mengandungi khasiat yang diperlukan dan juga mengandungi antibodi untuk melindungi bayi daripada jangkitan telinga, alahan, cirit-birit, jangkitan saluran pernafasan seperti ‘bronchitis‘, radang paru-paru dan meningitis (jangkitan selaput otak).

Selain itu, inisiatif ibu untuk si bayi membiasakan alunan ayat-ayat suci al-Quran setiap masa akan membantu menenangkan dan mententeramkannya. Banyakkan amalan tersebut untuk membiasakan anak mendengar ayat-ayat suci al-Quran.

Bagi pasangan yang baru menimang cahaya mata pertama, pasti banyak perkara baharu yang bakal dipelajari sepanjang proses membesarkan anak. Sudah pasti setiap pengalaman susah payah itu terasa manis apabila melihat anak membesar dengan sihat.

Raja di dalam rumah

Pada peringkat umur anak sehingga enam tahun, mungkin kita tidak menyedari bahawa si anak adalah raja di dalam rumah. Apa saja permintaannya pasti akan ditunaikan oleh ibu bapa. Setiap kali tangisan didengari, pasti ada saja yang melayan kerenahnya. Bagaimana nakal si anak, ibu bapa masih lagi bersabar dan membalas dengan senyuman. Apa saja permainan yang disukainya di pasar raya, pasti akan dibeli oleh ibu bapanya.

Saya mempunyai pengalaman melihat sendiri bagaimana seorang ibu menghadapi anaknya yang sedang memberontak atau dipanggil ‘tantrum’ di sebuah pasar raya. Sungguh, wanita itu diuji dengan kesabaran. Si anak itu mahu dibelikan mainan yang terdapat di bahagian mainan pasar raya tersebut. Meraung-raung si anak menangis kerana permintaannya tidak diendahkan oleh si ibu. Agak lama juga si anak itu menangis, sehinggakan pelanggan lain turut memerhatikan mereka. Akhirnya, mereka pulang tanpa si anak itu berjaya membeli mainan tersebut. Mungkin ada antara pembaca juga pernah menghadapi anak-anak ‘tantrum’ boleh berkongsi pengalaman bersama. Justeru, kita dapat berkongsi solusi dan tips bersama dalam menghadapi situasi seperti ini.

sang_raja_bayi_3

Seperti yang kita ketahui, fasa ini adalah fasa anak-anak dalam peringkat perkembangan tubuh badan dan mindanya. Pasti ada saja aktiviti baru yang akan diterokainya setiap hari. Perlu juga difahami, setiap anak mempunyai fasa perkembangan yang mungkin berbeza antara satu sama lain.Mungkin ada ibu bapa yang menghadapi pengalaman menguruskan anak-anak yang sangat aktif atau dalam istilahnya ‘hyperactive’.

Sampaikan ada antara pasangan yang lebih gemar meninggalkan anak di rumah berbanding membawanya ke tempat tumpuan orang ramai. Terbayanglah pelbagai perkara yang boleh berlaku apabila anak mereka berada di tempat tersebut. Saya akan berkongsi maklumat dan beberapa pengalaman mengendalikan anak-anak yang menghadapi masalah ‘hyperactive’ pada entri yang akan datang. Teruskan setia mengintai laman web ini di masa akan datang.

Nukilan,
Latifah binti Hashim
Setiausaha Biro Keluarga dan Masyarakat
ISMA Seberang Prai Utara