Perlawanan Persahabatan Badminton 8 Beregu

badminton_beregu_2

SUNGAI NIBONG, 5 November- Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang dengan kerjasama ISMA Syukbah Tanjung telah menganjurkan Perlawanan Persahabatan Badminton Lapan Beregu. Perlawanan Lapan Beregu ini diadakan di Dewan Badminton Tapak Pesta, Sungai Nibong, Pulau Pinang. Perlawanan yang memakan masa dua jam ini bermula pada pukul 10 malam dan berakhir tepat 12 malam. Tujuan utama perlawanan adalah untuk memupuk semangat kesukanan di  kalangan belia dan pemuda, di samping mengukuhkan hubungan silaturahim sesama ahli ISMA.

Kejohanan dimulakan dengan taklimat ringkas oleh wakil daripada pihak penganjur, En Muhamad Farid, selaku Timbalan Ketua Pemuda ISMA Pulau Pinang. Seterusnya, majlis dirasmikan oleh En Muhamad Zulfikri Saidin, selaku Ketua Pemuda ISMA Pulau Pinang. Memetik ucapan Ketua Pemuda ISMA Pulau Pinang, beliau berharap agar Pemuda ISMA sentiasa menganjurkan program sebegini supaya dapat memberi manfaat kepada golongan muda khususnya dan menghindarkan mereka daripada aktiviti yang tidak berfaedah di luar sana. Tambahnya lagi, aktiviti seperti ini dapat memupuk kesungguhan dalam bersukan di samping tidak mengenepikan kesungguhan dalam menjaga hubungan dengan Allah s.w.t.

Perlawanan yang melibatkan 16 orang peserta ini bermain secara regu. Mereka dikelaskan kepada lapan regu yakni dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan dengan empat regu bermain secara liga. Johan dan naib johan kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati iaitu separuh akhir bagi menentukan johan dan naib johan keseluruhan. Perlawanan hampir dua jam ini akhirnya, dijuarai oleh regu Fariz dan Zulazmi, manakala naib johan dimenangi oleh Yusri dan Hairizam. Disusuli tempat ketiga dimenangi oleh Izwan dan Muslim manakala tempat keempat dimenangi oleh Syafiq dan Farhan.

Kejohanan berakhir dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang. Mereka membawa pulang sekalung medal dan sijil penyertaan. Sebelum bersurai, para peserta bergambar kenang-kenangan bersama-sama. Perlawanan persahabatan ini mendapat sambutan yang  amat menggalakan dari ahli ISMA cawangan, tetapi setelah disaring hanya lapan regu sahaja yang layak dan terpilih untuk menyertai edisi kali ini.

Wakil Johan perlawanan, En Mohd Fariz Omar, beliau menyifatkan aktiviti seperti ini wajar diteruskan pada masa akan datang agar dapat sama-sama berukhwah. Beliau juga sangat berpuas hati dengan kelancaran sepanjang berlangsungnya perlawanan ini. Sementara itu, Encik Yusri yang mendapat Naib Johan, mengucapkan tahniah kepada ISMA Syukbah Tanjung dan Pemuda ISMA Pulau Pinang kerana berjaya menganjurkan kejohanan pada kali ini dan mengharapkan dapat menjalinkan ukhwah melalui sukan seperti ini.

Oleh Ahmad Muslihuddin Bin Nik @ Seman
Wartawan Biro Penerangan ISMA SPU