Menikahkan Wanita yang Belum Bersuami

usrah-wanita-20161106

SUNGAI DUA, 6 November – Islam tidak menutup jalan pernikahan kepada mereka yang tidak mampu bahkan mewajibkan para wali untuk membantu dan memudahkan jalan pernikahan mereka.

Demikian ulas Ustazah Norhayati Abdul Wahab ketika siri usrah wanita anjuran Biro Wanita Cawangan Seberang Perai Utara (SPU)  di Sungai Dua semalam.

Pernikahan  bukan pencegahan kepada masalah syahwat  tetapi merupakan jalan untuk mengendalikan kecenderungan seksual yang bersifat fitrah.  Demikian , Allah s.w.t memberi arahan kepada para wali untuk memberi kerjasama dalam menikahkan seseorang di bawah tanggungjawabnya  yang belum memiliki pasangan .

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan karunia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(An- Nur: 32).

Ibu bapa terutamanya, perlu teliti dalam melihat perkembangan anak-anak  lelaki dan perempuan. Ringan-ringankan bertanya  akan perihal mereka dan tidak malu untuk  menawarkan anak mereka untuk dikahwinkan . Mari kita contohi  sahabat Rasulullah iaitu Saidina Umar  bin Al-Khattab  yang  gigih berusaha untuk menikahkan anaknya Hafsah tatkala dia menjadi janda dengan menawarkan anaknya  kepada para sahabat yang soleh.

Islam tidak akan mewajibkan seseorang menahan diri  bahkan menyuruh menyegerakan urusan pernikahan apabila tiada sebab yang menghalang agar kehidupan berjalan selaras dengan fitrahnya. Halangan pertama bagi mereka yang ingin bernikah adalah halangan kewangan. Oleh sebab itu, Allah meminta umat Islam untuk membantu mereka yang mengalami masalah kewangan dalam menempuh jalan pernikahan yang halal dan menjamin rezeki untuk mereka yang ingin menjaga kehormatannya.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“ Tiga perkara yang pasti Allah tolong. Seorang mujahid di jalan Allah s.w.t, seorang penghutang yang bertekad membayar hutangnya dan seorang yang bernikah yang ingin menjaga kehormatannya.” (Hr. Tirmizi)

Kesimpulannya, wanita Islam perlu mengetahui bahawa pernikahan merupakan persoalan fitrah yang disyariatkan dan tidak selayaknya untuk disia-siakan . Allah s.w.t menempelak golongan yang mengadakan peraturan untuk mengharamkan perkahwinan  kerana menentang fitrah kejadian manusia.

Oleh Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita