KRIM Pulau Pinang rangkul anugerah kumpulan Outdoor terbaik dan tempat ke-3

finale_2016

KUALA KUBU BAHARU, 28 Safar 1438H, Isnin – Seramai lapan peserta dari Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang telah berentap di The FINALE, satu program yang mengumpulkan hampir 340 peserta dari seluruh negeri untuk merangkul gelaran Juara Negeri Terbaik The Finale.

Juara The Finale pada kali ini dirangkul oleh Kontinjen dari Wilayah Persekutuan (KRIM KL) manakala Kontinjen dari KRIM Pulau Pinang pula mendapat anugerah Kumpulan Outdoor Terbaik dan mendapat tempat yang ke-3 untuk anugerah Kontinjen Terbaik. Penglibatan peserta dalam menjayakan program The Finale sangat hebat dan ternyata remaja Malaysia sememangnya mempunyai semangat serta motivasi yang tinggi sehinggakan begitu banyak sirah-sirah yang hebat tentang remaja.

Pengarah KRIM Nasional dalam ucapannya di Majlis Perasmian The Finale petang tadi sempat meninggalkan pesanan kepada para peserta agar mereka sering membawa imej yang positif dan berakhlak mulia.

“Kelab Remaja ISMA tidak pernah melihat remaja dengan kaca mata yang negatif, melainkan KRIM melihat remaja dengan penuh harapan bahawa remaja inilah yang akan mengubah dunia, membawa kemenangan Islam,” katanya.

Sementara itu, majlis perasmian The Finale dirasmikan oleh Datuk Hj Habib Zam Zam Hj Ab Latiff yang merupakan bekas Setiausaha Bahagian Kementerian Kemajuan Luar Bandar.

“Kehebatan bangsa Melayu bermula dengan putera puteri yang berada di sini! Penduduk asal Tanah Melayu adalah bangsa Melayu. Ayahanda bukan menolak hak bangsa lain, tetapi ingin memberi kesedaran kepada anakanda bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang hebat,” jelasnya.

Oleh itu, harapan Kelab Remaja ISMA dalam mendidik remaja untuk hidup mengikut acuan Islam yang sebenar dan membina peserta menjadi remaja yang penuh kesungguhan dalam menonjolkan peribadi remaja Islam yang sebenar.

Nurul Suhaida Ibrahim
Setiausaha KRIM Pulau Pinang
Pengiring KRIM Pulau Pinang ke The Finale