Kemewahan vs Kemiskinan

kemewahan_vs_kemiskinan

Bismillahirrahmanirrahim.

Post saya kali ini berkaitan dengan sesuatu yang tidak menyenangkan diri sesiapa yang benar-benar jujur dengan tuhanNya yang Esa. Baru-baru ini saya mengunjungi ibu negara kita Kuala Lumpur, seperti biasa gambaran kota raya dihiasi dengan pelbagai kemegahan pembangunan dan ketinggian bangunan yang mencakar langit. Kelihatan benar megah dan cantik.

Apabila melihat manusia di kota raya, saya mula rasa takut, takut dengan kemewahan yang mereka hidup didalamnya, kereta, rumah, pakaian, yang harganya beratus bahkan beribu. Selain itu juga kekufuran yang melampau sehinggalah menghalalkan kekufuran seperti menjual arak, cukur kening, warna rambut, pakai seluar pendek yang terlajak pendek. MasyaAllah, la haula wala quwwata illa billah.

Bagaimana manusia boleh hidup dalam kesesatan dan kemewahan ini, bila cari tempat untuk solat, sangat jauh, azan tidak kedengaran kerana bangunan yang tinggi menghalang suara azan, masyaAllah, saya umpama tidak mengenali di manakah saya? adakah masih di negara saya? Siapa yang merubah semua ini dan merosakkannya?

Saya takut untuk berada di tempat yang sebegitu, mungkin azab dari Allah SWT bila-bila saja boleh turun!!
Apa yang saya rasakan, kehidupan di kota raya sebegini boleh lupakan dan jauhkan sesiapa sahaja dari Allah SWT.

Berbanding pula hidup di kampung-kampung, orang-orang yang susah, kereta tiada, makan hanya sekadarnya, rumah reput, namun sentiasa mendengar ucap syukur dan sabar basah di bibir-bibir mereka, bila masuk waktu solat terdengarnya azan saling sambut menyambut antara surau dan masjid, saya rasa bersyukur, saya tidak mungkin tahan dengan suasana di bandar.

Perbezaan yang amat ketara antara orang bandar dan orang kampong. Kemewahan, lupa tuhan, tiada azan, hati hitam. Manakala kemiskinan pula, ingat Arrahman, laungan azan, hati penuh dengan iman.

Saya bukanlah ingin membanding-bandingkan, akan tetapi lebih kepada menasihati diri sendiri dan sahabat-sahabat saya di bandar bahkan di kampung juga.

Wahai sahabat…

1. Jangan tenggelam dalam kemewahan, pakailah sekadarnya, tungganglah seadanya, tinggallah sewajarnya, ingatlah selamanya, kita milikNya yang Esa.
2. Dirikanlah solat, kejarlah akhirat, tinggallah syubhat, selalulah berselawat, hati mestilah sentiasa teringat, kita disini hanyalah sekejap.
3. Perbanyakkanlah kayuhan ke Masjid, rapatkanlah diri dengan sentiasa bersujud, jauhkanlah nafsu syahwat, takuti kedatangan azab Allah SWT.

Sahabat, terimalah nasihatku ini, kembalilah kepada Rabbul Alamin, sujud dan rendahkanlah diri, sesungguhnya kau akan meninggi lebih tinggi dari bangunan-bangunan pencakar langit.

Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami dalam iman dan taqwa kepadaMu Ya Allah walau dimana kami berada, Amin…

Wallahu’alam…

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ustaz Muhammad Ikram Bin Abu Hassan
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Ketua Biro Belia Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Caw SPU
Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pulau Pinang