Daya tahan hijrah

daya_tahan_hijrah

Betapa ramai pakar motivasi, kaunselor, psikiatris, malah doktor sekalipun atau mana-mana individu sering menyentuh soal ketahanan diri, daya tahan atau kuasa pendorong. Sedar atau tidak sebenarnya ketiga-tiga ini akan teruji apabila seseorang itu melalui detik-detik kesukaran.Hakikatnya, ketahanan diri atau daya tahan seseorang dapat digambarkan kekuatannya apabila mereka dapat bangkit, dan hadapi kesukaran yang mereka tempuh.

Melihat kepada kisah penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah sememangnya memberi keinsafan kepada diri. Pengorbanan yang dilakukan oleh setiap insan yang terlibat dalam penghijrahan Rasulullah sangat memerlukan daya tahan yang besar dan tinggi. Satu persatu penulis cuba senaraikan;

Bermula dengan Rasulullah sendiri, sanggup berkorban demi Islam dan umat. Menurut perintah yang Maha Kuasa dengan menyahut seruan untuk berhijrah, pengorbanan yang besar terbukti apabila Rasulullah masih meneruskan penghijrahan Baginda sedangkan pada waktu itu Rasulullah dalam keadaan diancam bunuh.

1) Saidina Abu Bakar
Setelah mendapat perkhabaran daripada Baginda Rasulullah sendiri tentang perancangan penghijrahan ini, Saidina Abu Bakar tanpa berfikir panjang mengiakan dan bersetuju untuk berhijrah bersama-sama Rasulullah. Abu Bakar sangat maklum pada waktu itu nyawa Rasulullah dalam bahaya kerana pihak Quraisy telah mengumumkan akan diberikan hadiah 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat membawa Rasulullah kepada mereka sama ada dalam keadaan hidup atau mati. Jika tiada nilai ketahanan diri yang tinggi mana mungkin Saidina Abu Bakar sanggup untuk bersama-sama dengan orang yang dalam keadaan terancam dan Saidina Abu Bakar yang bersama Rasulullah itu sendiri sudah tentu dalam situasi bila-bila masa sahaja mungkin akan dibunuh. Ancaman bunuh tidak menjatuhkan daya tahan pada Saidina Abu Bakar melainkan terus menerus ingin berkorban.

2) Saidina Ali Abi Talib
Pada malam penghijrahan Rasulullah, Baginda telah meminta Saidina Ali untuk tidur di tempat tidur Baginda sebagai satu helah terhadap kaum Quraisy supaya mereka menganggap Rasulullah masih ada di dalam rumah. Saidina Ali sememangnya mengetahui risiko yang akan dihadapinya jika dia bersetuju dengan permintaan Baginda Rasulullah. Namun, tanpa banyak bertanya dan berfikir panjang, Saidina Ali bersetuju dan pada malam itu beliau menggantikan Rasulullah di tempat tidur. Dengan izin Allah, Rasulullah keluar dari rumah tanpa diketahui oleh seorang pun kafir Quraisy yang sedang mengawasi Baginda di luar rumah. Jika tidak kerana kecintaan dan matlamat yang jelas dalam setiap tindakan Saidina Ali, sudah tentu beliau menolak permintaan Rasulullah dengan perasaan takut.

3) Asma’ Abu Bakar.
Seorang wanita mengandung yang sanggup berkorban demi kelancaran penghijrahan Rasulullah. Pada hari penghijrahan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar ke Madinah, Asma’ menyediakan bekalan makanan dan dalam keadaan mengandung Asma’ menghantar bekalan tersebut ke Gua Thur. Jarak Gua Thur dengan tempat tinggal Asma’ bukan lah dekat dan perjalanan untuk sampai ke gua tersebut tidak mudah seperti biasa kerana Asma’ perlu melalui kawasan-kawasan yang diawasi oleh kafir Quraisy. Pengorbanan yang dilakukan itu amat besar dan kebergantungan yang tinggi Asma’ letakkan hanya kepada Allah.

4) Abdullah Abu Bakar dan Amir bin Fuhayrah.
Kedua-dua bekerjasama dalam membantu penghijrahan Rasulullah. Semasa Baginda dengan Saidina Abu Bakar berada di Gua Thur selama 3 hari, Abdullah Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar) membawa berita-berita dari Mekah tentang perancangan dan aktiviti kaum Quraisy dalam misi mencari dan membunuh Rasulullah manakala, Amir bin Furayhah (hamba Saidina Abu Bakar) akan membawa kambing-kambing milik Abu Bakar ke Gua Thur, dan diperah susunya sebagai bekalan Rasulullah dan Abu Bakar. Setelah itu, Amir bin Furayhah akan membawa balik kambing-kambing jagaannya menggunakan laluan yang dilalui oleh Abdullah Abu Bakar untuk menghapus jejak kakinya. Hasil pengorbanan itu membantu melancarkan penghijrahan Rasulullah.

5) `Abdullah Urayqit al-Laythi.
Seorang lelaki bukan Islam yang menjadi penunjuk arah ketika perjalanan penghijrahan Rasulullah menuju Madinah. Walaupun `Abdullah Urayqit al-Laythi bukan Islam, namun dia adalah seorang yang boleh dipercayai dan mahir mengenai laluan-laluan di Tanah Arab. `Abdullah Urayqit al-Laythi membawa Baginda Rasulullah dan rombongan melalui jalan yang jarang dilalui penduduk Mekah dan perjalanan mereka berganda jauh daripada biasa. Seandainya `Abdullah Urayqit al-Laythi seorang lelaki yang punya daya ketahanan lemah, mungkin saja dia memilih untuk melalui jalan yang biasa.

Daya Tahan HIJRAH

Kisah penghijrahan Rasulullah memberi impak yang sangat besar kepada penyebaran Islam dan penerimaan Islam. Dari penghijrahan ini dapat dilihat seribu satu pengorbanan dan daya tahan diri (daya tahan emosi, daya tahan pemikiran, daya tahan spiritual, daya tahan tingkah laku). Akhirnya, penghijrahan Rasulullah ke Madinah mencapai kejayaan kerana setiap dari watak yang ada dalam kisah ini mempunyai daya ketahanan yang kuat dan mampu berkorban.

Daya tahan emosi – seseorang yang punya daya tahan emosi yang tinggi digambarkan mereka yang tidak mudah marah, merajuk, melatah atau larikan diri dari masalah. Seseorang yang punya daya tahan emosi mudah menerima teguran atas kelemahan diri dan sentiasa berusaha untuk mengiktiraf kekuatan pada diri.

Daya tahan pemikiran – seseorang yang mempunyai daya tahan pemikiran digambarkan seorang yang positif dan akan berfikiran positif dengan setiap ujian dan rintangan kehidupan. Mereka adalah antara insan yang mudah reda dan sentiasa kuat dalam mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan.

Daya tahan tingkah laku – seseorang yang dapat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan situasi, masih mampu menjadi diri sendiri walau perlu sesuaikan diri dengan persekitaran. Tiada sikap tidak ‘saya sahaja faham mereka, mereka tak pernah faham saya’, menjaga hubungannya dengan manusia.

Daya tahan spiritual – seseorang yang menjaga kerohanian diri, dan melihat ia sebagai satu kepentingan dalam kehidupan. Mempamerkan nilai-nilai Islam dalam diri, akidah yang benar dan ibadah yang sahih. Hidupnya berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, menjaga hubungannya dengan Allah.

Setiap penghijrahan kepada Allah sememangnya memerlukan pengorbanan yang tinggi. Semoga daya tahan kita makin kuat dan semakin menguat. Membawa diri kita menuju Allah dalam keadaan baik, ia memerlukan mujahadah yang berterusan.

Oleh Nurul Suhaida Ibrahim
Setiausaha KRIM Pulau Pinang