Al-Quran, jalan pintas ke syurga

artikel_al-quran

Setiap manusia ada liku kehidupan dan masalah mereka sendiri. Setiap masalah pula pasti akan ada jalan penyelesaiannya. Cuma, cara untuk menyelesaikan masalah itu yang berbeza-beza. Tapi, kita perlu ingat, Allah telah memberi garis panduan melalui kitab suci al-Quran kepada umat manusia mengenai batas dan syariat yang perlu kita ikut dalam kehidupan. Selain itu, isi kandungan al-Quran relevan dengan semua aspek kehidupan dan sepanjang masa. Jadi al-Quran penyelesaian masalah yang tepat kepada setiap masalah yang kita hadapi.

Bukankah ukuran kebaikan seseorang itu bergantung dengan interaksi individu itu dengan al-Quran? Kata orang apabila ingin berbicara dengan Allah ialah dengan solat. Apabila ingin mendengar Allah berbicara, bacalah al-Quran. Sebenarnya, ketaatan orang Islam ini sangat unik sehingga menembusi sudut pandang paling kabur dalam fikiran manusia dan menembus kekuatan jiwa orang beriman. Bahkan, orang yang tidak beriman juga dapat merasakan sesuatu dalam gerak jiwa mereka apabila mendengarkan bacaan al-Quran dan keindahan bahasanya yang tidak dapat dilukiskan dengan kata-kata.

Sebagai umat Islam, al-Quran merupakan sumber rujukan dan pedoman kepada kita selain hadis dan sunnah Rasulullah. Setiap mukmin wajib meyakini kebenaran al-Quran kerana kitab suci ini petunjuk bagi mereka yang bertakwa seperti yang tercatat dalam surah al-Baqarah ayat 4; “dan mereka yang beriman kepada kitab Al-Quran yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya hari akhirat’.

Allah berfirman dalam surah Al-Hasyr ayat 21, “kalau sekiranya kami turunkan Al-Quran kepada gunung pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takutnya kepada Allah. Perumpamaan ini untuk manusia supaya mereka berfikir. Ini membuktikan betapa hebatnya sifat manusia itu sendiri kerana mampu memikul amanah yang telah diamanahkan Allah di atas muka bumi ini. Namun, adakah kita berjaya membuat apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang? Tepuk dada, tanya iman ya kawan-kawan.

Di samping itu, al-Quran akan memberikan syafaat pada hari kiamat kelak bagi orang yang membacanya. Antara keistimewaan lain, kita akan mendapat pahala bersama malaikat di akhirat sebagai orang yang mahir membaca al-Quran dan akan mendapat pahala dua kali ganda bagi orang yang belum lancar membaca al-Quran kerana pahala belajar. Orang yang membaca al-Quran juga akan mendapat rahmat dan dipuji oleh Allah di hadapan makhluk. Jadi mari sama-sama kita mencari reda Ilahi dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran. Kata orang, we are what we eat, we are what we read. Allahuakbar!

Oleh Nor Fazira Afifi Hassan
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU).