Program Smiling Souls erat hubungan PEMBINA dan Muallaf

BUTTERWORTH, Sabtu – Berlandaskan hubungan akidah dan iman yang membentuk ukhuwah Islamiyah, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pulau Pinang telah mengadakan satu program ziarah muallaf di sekitar Pulau Pinang yang diberi nama ‘Smiling Souls’ di bawah anjuran biro Bakti.

Program ini dianjurkan untuk  membantu keluarga muallaf dengan menghulurkan sumbangan dari segi kewangan serta barang keperluan harian. Selain itu, ia juga dilaksanakan bagi memupuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan belia dan secara tidak langsung memperkenalkan PEMBINA kepada masyarakat luar.

Program ini melibatkan tiga buah keluarga muallaf yang berpendapatan rendah dan hidup dalam keadaan serba kekurangan. Tiga buah keluarga ini terdiri daripada keluarga Encik Alif Danial, Puan Halimah Jothi dan Puan Aisyah Thoo. Encik Alif Danial dan Puan Halimah Jothi, kedua-duanya adalah berbangsa India, manakala Puan Aisyah Thoo pula berbangsa  Cina.

Sumbangan yang diberikan adalah hasil kutipan daripada sukarelawan PEMBINA yang terlibat. Selain daripada sumbangan kewangan dan barang keperluan, pihak penganjur juga  turut memberikan sumbangan tenaga seperti membantu membersihkan kawasan rumah serta khidmat nasihat dari sudut pendidikan dan juga kerohanian. Misalnya, sukarelawan yang terlibat telah berkongsi informasi berkenaan institut-insitut kemahiran yang boleh disertai oleh anak-anak Puan Halimah memandangkan mereka sangat berminat untuk melanjutkan pembelajaran dalam bidang teknikal dan industri.

Program ini diharap mampu memberikan kesan yang positif, baik kepada keluarga muallaf mahupun para sukarelawan yang terlibat. Selain daripada bertujuan meringankan beban kewangan keluarga yang terlibat, mereka juga kini mempunyai satu saluran baru untuk bertanya atau mendapatkan sebarang bantuan serta perkongsian berkenaan ilmu-ilmu agama.

Pada masa yang sama, para sukarelawan juga berpeluang untuk berinteraksi dan mendengar sendiri kisah liku-liku kehidupan saudara Islam kita yang baru ini. Tambahan pula, program ini juga dapat memupuk budaya tolong-menolong dan cakna dengan kehidupan masyarakat sekeliling.

Diharap program seperti ini dapat dijalankan secara berterusan agar lebih ramai keluarga muallaf yang dapat dibantu serta mampu menggerakkan lebih ramai belia dan beliawanis  untuk tampil sebagai sukarelawan bersesuaian dengan hadis Muslim“Barangsiapa melepaskan seorang mukmim dari kesusahan hidup di dunia nescaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat”.

Keluarga Puan Aisyah
Keluarga Puan Aisyah

Keluarga Encik Alif Daniel
Keluarga Encik Alif Daniel

Oleh Anisah, Anieza Agullana Azman dan Aina Nurina Aman
Aktivis PEMBINA Pulau Pinang