Memanah: Seronok Bersukan, Pahala Pun Dapat

memanah_1
KEPALA BATAS, 1 Oktober  – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Seberang Perai Utara (SPU) telah menganjurkan program ‘Archery: Girls Day Out’ bertempat di Pak Lutfi Archery Centre, Kg. Banggol Pokok Sena, khusus untuk remaja perempuan berusia 13-18  tahun di sekitar kawasan SPU.

memanah_4Bertemakan hadis riwayat Muslim, “Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah dari mukmin yang lemah”, program ini bertujuan menekankan kepentingan riadah dan bersukan untuk membina kekuatan fizikal serta mental melalui sukan sunnah iaitu memanah. Menurut Pak Lutfi, pengasas dan jurulatih sepanjang program ini berlangsung, memanah merupakan sunnah Rasulullah yang patut dipelajari semua lapisan masyarakat, khususnya ummat Islam. Di samping diacarakan di kejohanan sukan, memanah boleh dijadikan aktiviti rekreasi bersama rakan dan keluarga; selain berfungsi juga sebagai senjata senyap.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah teori dan praktikal memanah, permainan ‘Test Your IQ’ secara berkumpulan iaitu silangkata, susun gambar dan hafazan hadis tema, seterusnya resolusi dan penyampaian hadiah di penghujung program.

“Bersesuaian dengan kedatangan tahun baru 1438 Hijrah, program ini diharapkan dapat menjadi titik tolak perubahan para peserta untuk membuat pilihan bijak dengan meninggalkan perbuatan sia-sia seperti melepak, berbual kosong kepada melakukan aktiviti bermanfaat seperti belajar memanah dan sirah pada waktu cuti sebegini” ulas Cik Nur Husnuzzan Azizan, selaku pengarah program.

Seorang peserta dari SMK Kadir, Nur Iffah Irdina bt Nazaruddin, 14, ini merupakan kali pertama dia dan adiknya, Nur Fitri bt Nazaruddin , 13, mencuba memanah walaupun rumahnya berdekatan dengan tempat tersebut. Iffah yang mendapat markah tertinggi dalam keseluruhan acara memanah mengatakan, dia dapat belajar banyak perkara seperti fokus dalam melakukan sesuatu, selain mengeratkan silaturahim sesama rakan sebaya. Iffah menyatakan harapannya supaya KRIM dapat menganjurkan lagi aktiviti sebegini pada masa hadapan. ‘Archery: Girls Day Out’ memang terbaik !

memanah_2 memanah_3

Oleh
Noradawiyah binti Nordin
Setiausaha Program Archery: Girls Day Out