[Bahagian 2] Pendakap Gigi Palsu (Fake Braces) : Dapat cantik atau dapat sakit?

braces

Disebabkan rawatan pemakaian braces agak mahal hinggakan menelan belanja beribu-ribu ringgit, telah muncul segolongan orang bukan dari profession pergigian yang menawarkan khidmat memakai braces dengan harga yang lebih murah yakni pendakap gigi tiruan atau fake braces. Kononnya, ia berfungsi seperti braces yang dipasang oleh pakar pergigian. Fake braces yang dibeli dengan harga yang lebih murah dan secara borong dari negara China ini, sebenarnya bukannya merawat tetapi memudaratkan!

Sudah jelas lagi bersuluh tentang bahaya fake braces ini dan tidak dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Buktinya, terpampang di dada akhbar baru-baru ini tentang seorang gadis berusia 21 tahun didakwa atas kesalahan menjalankan perkhidmatan pemakaian fake braces hanya dengan menonton Youtube dan bertindak sebagai doktor gigi tidak bertauliah.

Salah ke pakai fake braces ni? Sudah sepastinya salah. Pemakaiannya sangatlah berbahaya apabila ada kes kematian dicatatkan berlaku disebabkan fake braces di Thailand. Anggota badan anugerah Allah ini sangat unik dan kompleks dan diciptakan oleh Allah Yang Maha Mengetahui. Sama juga konsepnya dengan pemakaian braces, kepakaran ini sepatutnya dilakukan oleh orang yang arif tentangnya, iaitu pakar ortodontik. Jika sebaliknya, maka akan berlakulah kesan-kesan buruk yang tidak kita ingini.

Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia, pernah menyatakan bahawa trend memakai dan membeli pendakap gigi palsu dari pasaran gelap untuk digunakan pada gigi mereka akan mengundang risiko kesihatan. Penggunaan fake braces boleh memberi gangguan kepada salur darah dan saraf gigi. Ulser mulut, gusi berdarah, jangkitan kuman dan bakteria dalam mulut merupakan masalah dan kesan yang terpaksa dihadapi oleh pemakai fake braces.

Kesan buruk fake braces tidak kelihatan pada awal tempoh pemakaiannya, tetapi kesannya adalah pada jangka masa panjang. Gigi yang sudah elok kedudukannya boleh beralih tempat dan ada potensi untuk tercabut keluar dari rongga mulut. Apabila keadaan bertambah buruk, barulah doktor gigi yang bertauliah dirujuk. Namun, sudah terhantuk baru terngadah.

Konklusinya, pemakaian braces sepatutnya mengikut keperluan perubatan, bukan kehendak kecantikan semata-mata. Usah tertipu membayar pada sesuatu yang merosakkan. Nak peroleh sesuatu yang baik, ada nilainya. Jangan kerana nak sesuatu yang mudah dan murah, akhirnya diri yang parah.

Oleh Aina Nadia Ahmad Nadzri
Graduan Pergigian,
Universiti Tanta, Egypt.