[Bahagian 1] Pendakap Gigi Palsu (Fake Braces) : Dapat cantik atau dapat sakit?

braces

Pendakap gigi atau braces semakin popular dewasa ini dalam kalangan anak muda apabila ia dikatakan “trendy” dan mengikut peredaran zaman. Wayar dan besi-besi yang melekat pada permukaan gigi dikatakan menonjolkan kecantikan seseorang. Pandangan ini merupakan daripada kacamata anak muda yang sepatutnya dielakkan dan dibuang jauh-jauh.

Pada hakikatnya, pendakap gigi merupakan salah satu teknologi khas dalam bidang pergigian yang dicipta untuk membantu proses pengaturan gigi dan gusi kembali ke tempat yang sepatutnya. Kedudukan gigi yang bukan pada tempat sepatutnya seperti masalah gigi jongang, gigi berlapis, dan tidak dapat menutup mulut dengan baik akan menjadi punca gigi mudah rosak. Natijahnya, individu terbabit kurang keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang lain, sebutan sesuatu huruf mahupun perkataan menjadi tidak jelas, dan tergigit bahagian dalam pipi. Rawatan yang diperlukan untuk perbetulkan keadaan ini disebut sebagai rawatan ortodontik. Masalah susunan gigi gusi dan rahang dapat diperbaiki agar seseorang itu dapat makan, minum, bertutur, berkomunikasi, bermasyarakat dan sebagainya dalam keadaan yang lebih sempurna dan meyakinkan.

Bagi tujuan ini, Islam menggariskan keharusan untuk mengelakkan kemudaratan. Dalam satu artikel atas talian dalam bahasa Arab, Dr Rafa`at Fawzi Abdullah Muttalib yang merupakan seorang professor di Universiti Dar Al-Ulum, beliau ada mengatakan, “Braces yang membetulkan susunan gigi adalah dibenarkan.” Justeru, Islam tidak menghalang braces yang dilakukan atas tujuan perubatan dan mengurangkan kemudaratan seseorang.

Nak cantik tak salah. Allah itu sendiri cantik dan Dia suka akan kecantikan dan keindahan. Yang salah dan menjadi masalahnya adalah mencantikkan diri sendiri sehingga mengubah ciptaanNya. Islam jelas melarang keras perbuatan mengubah sesuatu ciptaan Allah atas tujuan kecantikan, seperti dalam hadis berikut:

Allah melaknat orang yang mentatu dan yang minta ditatu, dan mencukur alis mata serta merenggangkan gigi untuk kecantikan dengan mengubah ciptaan Allah. (Hadis no:5487, Shahih Bukhari)

Justeru, hukumnya haram apabila seseorang memakai braces atas tujuan kecantikan semata-mata, seperti yang dinyatakan dalam hadis riwayat Bukhari di atas.

Oleh Aina Nadia Ahmad Nadzri
Graduan Pergigian,
Universiti Tanta, Egypt.