Ziarah Kubur

ziarah_kubur
Seringkali, kita melihat perkarangan kubur akan dipenuhi dengan umat manusia pada bulan Ramadan dan hari raya Aidilfitri serta Aidiladha sahaja. Keadaan ini seolah-olah menjadi satu adat untuk umat Islam menziarahi kubur pada waktu itu, walhal bila-bila masa sahaja kita boleh menziarah.

Pada awal perkembangan Islam, menziarahi kubur diharamkan untuk mengelakkan perbuatan syirik berlaku. Ini kerana, pada waktu itu, para sahabat masih baru dalam meninggalkan kepercayaan jahiliah termasuklah memuja kubur. Namun, setelah ajaran Islam kukuh, Rasulullah mengizinkan umat Islam menziarahi kubur.

Rasulullah SAW bersabda:

“Dahulu aku pernah melarang kalian berziarah kubur, (kini) berziarahlah, agar ziarah kubur itu mengingatkanmu berbuat kebajikan.” (HR Al-Ahmad, hadits shahih)

Hukum menziarahi kubur bagi kaum lelaki adalah sunnah, bahkan Ibnu Hazm mengatakan, “Sesungguhnya ziarah kubur itu wajib, meski sekali seumur hidup, karena ada perintahnya”. Namun bagi wanita, terdapat beberapa percanggahan. Pertama, sunnah bagi wanita sebagaimana sama dengan lelaki seperti sabda Rasulullah di atas. Kedua, makruh bagi wanita kerana kaum hawa ini dilahirkan dengan hati yang lembut mudah menangis dan berteriak, jadi para ulama menegaskan makruh bagi mereka.

Menziarahi kubur mempunyai adab tersendiri:

  1. Ketika masuk, sunnah untuk kita menyampaikan salam dan doa kepada mereka yang telah meninggal dunia.

Sebahagian salam dan doa tersebut ialah

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ

Sejahteralah ke atas kamu, wahai penduduk kampung (Barzakh) dari orang-orang mukmin dan muslim. Semoga Allah merahmati yang mendahului kami dan orang-orang yang datang kemudia. Sesungguhnya kami insya Allah akan menemui kamu, kami mohon kepada Allah untuk kami dan kamu , agar diberi keselamatan.”

  1. Tidak melakukan tawaf sekeliling kuburan dengan niat untuk bertaqarrub (beribadah) kerana tawaf hanya dilakukan di sekeliling Kaabah sahaja. Firman Allah :“Dan hendaklah mereka melakukan tawaf sekeliling rumah yang tua itu (Baitullah, Ka’bah).” (AI-Hajj: 29)

  1. Tidak boleh memohon pertolongan dan bantuan kepada mayat, meskipun dia seorang nabi atau wali kerana ia adalah perbuatan yang mensyirikkan Allah.

“Dan janganlah kamu menyembah apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah, sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zhalim.” (Yunus: l06)

  1. Orang yang bermusafir semata-mata untuk menziarahi kubur dilarang oleh Rasulullah. Memadai dengan menziarahi perkuburan yang ada di negerinya atau tempat tinggalnya. Bidaah yang dilakukan oleh kebanyakan orang hari in ialah seperti meminta pertolongan kepada tuan yang empunya kubur dan perkara-perkara lain yang telah disebutkan oleh Mursyid. Kesemuanya adalah bidaah dan wajib diperangi.

  1. Kalungan bunga atau menaburkan bunga di atas kubur sudah menjadi tradisi ketika menziarahi kubur. Perbuatan ini sebenarnya menyerupai perbuatan orang bukan Islam. Perbuatan ini diwarisi oleh nenek moyang kita dahulu, dan lalu ianya dianggap termasuk dalam ajaran Islam. Padahal ianya benar-benar salah dan kita patut perbetulkan kembali. Tujuan utama menziarahi kubur adalah untuk mengambil iktibar kerana kita manusia selalu lalai dengan kehidupan dunia, walhal kehidupan yang abadi ialah di akhirat.

Kesimpulannya, umat Islam disarankan untuk selalu mengingati mati supaya kita sedar bahawa kita bakal mengikuti mereka yang telah pergi. Syarat untuk mati adalah hidup, jadi kita tidak tahu bila, di mana dan bagaimana Malaikat Izrail datang menjemput kita. Sebab itulah, persiapan harus dilakukan.

Oleh Nur Amalina Ahmad Razali