Asid Vs Alkali : Cerna Akal

artikel_asid_alkali

Memikirkan ciptaan Allah SWT dan mengingati kebesaran-Nya dapat meningkatkan keimanan diri. Ayuh, kita perhalusi aplikasi asid dan alkali yang berlari di sekitar kita. Ion-ion hidrogen dan hidroksida bertaburan di sekeliling. Membentuk unsur, sebatian dan campuran alam yang membantu kehidupan seharian. Tanpa ion hidrogen, mana mungkin kita mampu meneguk air setiap hari. Kedua-duanya saling berkait dan memerlukan. Asid dan alkali yang berkisar secara langsung atau tidak dalam kehidupan seharian kita merupakan salah satu contoh daripada kebesaran dan kekuasaan-Nya.

Kebanyakan kita mengenali dua nama ini sebagai bahan merbahaya dan lebih sinonim kepada mereka yang berpendidikan sains dan kimia semata-mata. Malah, lebih dikenali juga sebagai bahan ujikaji dalam makmal. Hakikatnya, asid dan alkali ini terlalu dekat dalam kehidupan kita seharian. Bahkan merupakan salah satu juzuk dalam alam ini. Cuba kita perhatikan buah peria atau petola. Bagaimana rasanya? Mestilah pahitkan. Petola merupakan salah satu contoh tumbuhan yang mempunyai kandungan alkali. Umumnya, sesuatu yang pahit, pH melebihi tujuh dan mempuyai kepekatan ion hidroksida yang tinggi maka ia dikelaskan sebagai alkali. Manakala asid adalah bersifat masam, pH kurang daripada tujuh dan mempunyai kepekatan ion hidrogen yang tinggi. Contohnya adalah seperti limau, mangga, dan strawberi.

Sedarkah kita bahawa tanah yang kita pijak setiap hari ini, yakni daratan meliputi hanya satu pertiga permukaan bumi. Tanah ini juga mempunyai sifat keasidan dan kealkaliannya yang tersendiri. Namun ia tidaklah memudaratkan sehingga menyebabkan hakisan kepada badan kita. Dalam sektor pertanian khususnya, tanaman tidak akan mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup jika peratusan asid dan alkali tanahnya terlalu tinggi. Tanah gambut bersifat asid, maka proses pengapuran perlu dilakukan untuk mengurangkan keasidannya bagi membenarkan tanaman sawit untuk hidup dengan subur. Sementara tanah yang berkapur, kebiasaannya di kawasan berbukit adalah bersifat alkali. Justeru, baja urea perlu digunakan untuk membantu tumbesaran tumbuhan di sekitar kawasan tersebut.

Meneropong jauh ke dalam badan kita, sebenarnya organ dalaman kita serta proses-proses yang berlaku setiap saat di dalamnya juga melibatkan timbal balik antara asid dan alkali. Gastrik contohnya, berlaku disebabkan rembesan asid hidroklorik yang terlalu banyak daripada sel perut dan ia memang berlaku secara semulajadi. Manakala lapisan mukosa yang bertindak sebagai benteng pertahanannya menjadi lemah. Justeru, bagi meneutralkan keadaan ini, susu terutamanya susu kambing yang bersifat alkali adalah antara solusi yang terbaik dalam mengurangkan kesakitannya.

Konklusinya, setiap yang Allah ciptakan di langit dan bumi mempunyai rahsia-rahsia dan hikmahnya yang tersendiri. Malah, setiap yang kita pelajari sejak sekolah hingga ke pengajian tinggi semuanya adalah ilmu dan hikmah yang Allah kurniakan kepada kita sebagai manusia untuk membentuk ketakwaan dan pengabdian kepada-Nya. Benarlah firman Allah s.w.t dalam surah ke 51 ayat 20 hingga 21, yang bermaksud “Dan di Bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang yakin, dan juga pada dirimu sendiri, maka apakah kamu tidak memperhatikan?”.

Oleh Nur Husnuzzan Azizan
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia
Universiti Malaysia Terengganu
Penjawat Swasta di Kulim Hi-Tech Park