Sehati sejiwa membina agenda Islam

image

Ulang tahun kemerdekaan dirai sekali lagi pada bulan kemerdekaan ini. Tahun ini adalah tahun ke-59 kita meraikannya. Cabaran hari ini adalah apabila semangat kesatuan makin rapuh dalam kalangan rakyat. Kaum Melayu yang menjadi bangsa teras kepada rakyat Malaysia makin berpecah dan berantakan. Perpecahan adalah titik kelemahan. Inilah tanda awal kemusnahan. Gagasan agenda Islam memerlukan kesatuan fikrah dan hala tuju yang sama. Matlamat yang sama perlu diikuti dengan sikap terbuka menerima pandangan dan kesediaan berbeza pandangan. Agenda Islam memerlukan jiwa yang besar untuk mendokongnya. Setiap daripada kita sangat bernilai dan amat memainkan peranan penting untuk membina agenda Islam.

Inilah produk tarbiah yang menekankan disiplin dan ketegasan. Tarbiah ini melahirkan jiwa seorang panglima tentera dan budaya kerja seorang pekerja setia. Hubungan jiwa-jiwa hebat ini adalah ukhuwah dan thiqah (kepercayaan). Inilah tuntutan Islam. Inilah pekerja setia dalam membina agenda Islam di bumi tercinta ini. Sehati sejiwa!

Sehati sejiwa tak kira muda atau tua

Sehati sejiwa tak kira pangkat atau harta

Kami Sehati sejiwa!

Inilah syiar Islam. Syiar yang terpancar dalam saf umat Islam. Ini adalah kerana, tuntutan Islam untuk berukhuwah. Dek kerana jiwa panglima, pastinya berlaku perselisihan pandangan. Pastinya berlaku perasaan tidak puas hati. Bak kata pujangga, sedangkan lidah lagi tergigit. Inilah ruang berlapang dada dan langkah menguji keutuhan benteng ukhuwah. Jika perselisihan pandangan yang kecil cukup untuk meruntuhkan kota ukhuwah ini. Tidak perlulah musuh bersusah payah menghantar tentera. Cukup dengan menghantar jarum merosak ukhuwah. Jiwa yang beriman pasti tidak terkesan dengan perkara remeh ini.

Apakah rahsia kekuatan ukhuwah kita? Jawabnya, ikatan ini diikat dengan tali Allah. Ikatan akidah yang utuh. Adab berukhuwah adalah ibadah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Yang tua mengasihi yang muda dan yang muda menghormati yang tua. Jiwa berlapang dada dalam berinteraksi akan menjauhi prasangka buruk yang meracuni hubungan murni ini. Malah diharamkan untuk berprasangka buruk terhadap sesama mukmin.

Yang muda kita junjung,
yang tua kita sanjung,
ukhuwah bersama harus digendong,
kasih sesama terus didukung.

Inilah ramuan untuk kita bina negara ini. Kita sepakat dalam membina agenda Islam. Generasi yang di tarbiah mempelopori budaya baru ini. Budaya ukhuwah merentasi sempadan politik sempit dan puak-puak berkepentingan. Kita bina kembali saf umat seperti kita menyusun saf ketika bersolat Jemaah. Kita pastikan tiada ruang kosong yang boleh menjadi sasaran syaitan.

Negara ini dibina dengan semangat sehati sejiwa. Kenapa semangat untuk mendapat emas Olimpik boleh menjadi landasan kesatuan umat, kenapa tidak kepada agama? Ayuh, tepuk dada tanya iman.

Dr Zaki - Kiri

Dr Mohd Zaki Ibrahim
Naib Yang Di-Pertua (NYDP) ISMA
Cawangan Seberang Perai Utara (SPU)