Nilai masa bagi golongan berfikir

nilai_masa

Pepatah Melayu ada mengatakan, ‘Masa itu emas’ manakala pepatah Arab mengatakan bahawa ‘Masa adalah ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita’. Perkara ini menggambarkan bahawa masa itu sesuatu yang sangat penting dan berharga dalam kehidupan kita sebagai manusia.

Masa diibaratkan nyawa kerana apabila kita diberikan peluang untuk terus bernafas, kita sebenarnya mempunyai masa untuk menambah sumbangan dalam kehidupan, memperbaiki kesilapan dan sebagainya. Masa adalah antara banyak perkara yang Allah bersumpah dengannya. Ini membuktikan bahawa dalam surah al-’Ashr: 1-3, surah al-Lail: 1-2, adh-Dhuha: 1-2, al-Fajr: 1-2 dan asy-Syams: 1-2.

Bahkan dalam Usul 20 oleh Imam Hassan al-Banna ada menekankan tentang nilai masa yang terkandung dalam usul yang ke sembilan.  Dalam usul ini, Imam Hassan al-Banna meletakkan satu kaedah yang akan menjaga usaha, tenaga dan hati seorang mukmin menjadi sia-sia namun sebaliknya menjadikan satu amalan positif yang membina. Beliau menggalakkan setiap muslim agar melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat di dunia dan di akhirat.

Antara saranan beliau ialah tidak terjebak dengan apa-apa yang tidak mendatangkan amal. Sebagaimana firman Allah setelah mereka bertanya tentang hari kiamat iaitu

“Mereka bertanya kepadamu tentang hari kiamat, bilakah terjadinya? Siapakah kamu (maka) dapat menyebutkan (waktunya)?
(An Nazi’aat: 42-43)

Oleh itu, bertanya tentang perkara yang tidak memberi maafaat perlu dielakkan. Sebab itulah apabila Rasulullah SAW ditanya tentang hari Qiamat, baginda bersabda: “Apakah yang kamu sediakan untuknya? Sambil berpaling dari kehendak soalannya kepada perkara yang berfaedah. Baginda tidak menjawab apa yang ditanya.

Tips seterusnya ialah melibatkan diri dalam ayat-ayat yang ilmiah. Iman Hasan al-Banna tidak bersama-sama dengan mereka yang mengagungkan dan menolaknya. Beliau mengambil jalan tengah dengan mengambil mana-mana baik dan meninggalkan yang tidak baik. Hal ini demikian kerana ramai orang terpengaruh dengan penemuan ilmiah baru. Mereka mempunyai dua kelompok iaitu golongan pertama yang menerimanya dan terpesona serta mengagungkannya dan satu lagi golongan kedua iaitu menolaknya.

Golongan pertama menerima penemuan sains sedangkan ianya teori sahaja. Mereka cuba mencari kewujudannya dalam al-Quran, menyelidikinya dan mentafsir maknanya dengan salah. Ini amat berbahaya kerana boleh merosakkan akidah manusia.  Mereka mensia-siakan masa dan tenaga dan lupa bahawa al-Quran adalah kitab hidayat dan petunjuk serta manhaj kehidupan.

Kesimpulannya, sebagai seorang mukmin kita seharusnya memenuhi masa kita dengan melakukan perkara yang mendatangkan amal dan tidak terjebak dngan perkara yang sia-sia. Nilaian masa dalam kehidupan Rasulullah SAW dapat dilihat kerana Baginda sibuk menguruskan agenda dakwah serta perjuangannya, pemimpin negara Islam Madinah, ketua angkatan tentera, suami kepada isteri-isteri, ayah kepada anak-anak, teman kepada sahabat-sahabat dan sebagainya. Kita akan dapat melihat orang yang tahu menguruskan masa ialah orang yang paling sibuk. Al-Syahid Hassan Al-banna mewasiatkan bahawa, “Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada. Oleh itu, bantulah saudaramu tentang cara-cara hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya.”

Oleh Najihah Rameli
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU)