Kekang nafsu dengan menjaga pandangan

beritaUW21
BANDAR PERDA, 22 Ogos – Islam melarang wanita memilih pakaian yang menampakkan bentuk badan, nipis, dan tidak menepati syariat Islam yang boleh menyumbang kepada tercetusnya nafsu syahwat dan penzinaan.

“Sebagaimana seorang lelaki diharamkan oleh Allah SWT melihat aurat lelaki lain, begitu juga bagi kaum wanita. Wanita Islam dilarang untuk melihat aurat wanita lain, merenung lelaki dengan sengaja dan dilarang untuk berlegar-legar di hadapan kaum lelaki walaupun berhijab untuk mengelak fitnah pandangan kerana pandangan jahat merupakan zina,” ulas Ustazah Zaiton Saad.

Usrah Wanita yang dianjurkan oleh Biro Wanita ISMA cawangan Seberang Perai Utara (SPU) telah berlangsung di Masjid Daerah SPT Bandar Baru Perda yang mengupas tentang tuntutan menjaga pandangan bagi kaum wanita yang diterangkan di dalam surah An-Nur ayat 31.

Beliau juga menambah bahawa dalam sebuah hadis Nabi SAW, tuntutan wanita untuk menjaga pandangan walaupun terhadap seorang lelaki yang buta.

“Ibnu Ummi Maktum menemui Rasulullah yang ketika itu berada bersama isteri-isterinya. Lalu Rasulullah menyuruh mereka beredar dan mengenakan hijab untuk menjaga pandangan mereka daripada lelaki yang bukan muhrim,”

“Ibnul Qayyim Al-Jauziyah rahimahullah menjelaskan bahawa pandangan boleh membawa kepada kebinasaan kerana pandangan akan melahirkan lintasan dalam hati dan seterusnya akan melahirkan fikiran. Fikiran akan melahirkan syahwat dan keinginan yang kuat akan membawa kepada tindakan,” katanya lagi.

Ustazah Zaiton mengakhiri ucapannya dengan berpesan supaya semua wanita Islam menjaga dan menundukkan pandangan agar terhindar daripada fitnah dan nafsu syahwat yang akan membinasakan diri.

“Berhati-hatilah terhadap golongan yang cuba memalsukan syariat Allah serta memperdaya wanita dengan kecantikan dan keseronokan yang mengundang azab Allah SWT,” katanya.

Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro WANITA
ISMA Seberang Perai Utara