Kaya Jiwa

kaya_jiwa

Kekayaan adalah sesuatu yang sudah pasti menjadi impian setiap insan. Hatta, budak kecil sekalipun mahukan kekayaan. Masakan tidak, jika mereka disuruh untuk berbuat sesuatu, pasti ada sahaja habuan yang mereka inginkan sebagai upah. Di samping itu, jika dilihat dari aspek orang dewasa, masing-masing sibuk bekerja semata-mata untuk mendapatkan wang demi kelangsungan kehidupan. Kesibukan yang melampau kadang-kadang akan membenihkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga mahupun sahabat handai kerana masa yang diperuntukkan untuk bersama semakin sedikit ataupun tiada langsung. Tidak wajarlah sekiranya kita bertungkus-lumus untuk mencari wang, tetapi orang tersayang di sekeliling diabaikan. Ya, memang benar apa yang kita lakukan itu adalah untuk mereka, orang yang kita sayang, tetapi haruslah diingat bahawa kekayaan itu tidak boleh membeli kebahagiaan.

Pada dasarnya, kekayaan adalah suatu nikmat buat kita daripada Allah SWT yang berupa sebuah ujian. Allah ingin menguji hamba-Nya yang memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah dengan menilai sejauh manakah harta itu dibelanjakan ke jalan-Nya. Jika individu yang kaya tersilap langkah dalam membelanjakan hartanya, tidak mustahil bagi Allah untuk mengambil hak-Nya kembali. Kata kunci yang harus diingat ialah segalanya yang kita perolehi sepanjang kehidupan kita adalah pemberian Allah berupa pinjaman daripada-Nya. Allah berupaya mengambilnya kembali daripada kita apabila Dia tahu kita tidak memerlukannya.

Kekayaan yang sebenarnya bukan diukur dengan banyaknya harta yang kita miliki, tetapi kekayaan yang sebenar dan hakiki adalah kaya jiwa. Hadis Nabi SAW yang menjelaskan hakikat sebenar kekayaan ialah;

“Bukanlah kekayaan dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kekayaan yang hakiki adalah kaya jiwa (hati).”
[HR Al-Bukhari, no.6446 & Muslim no.1050]

Apakah yang dimaksudkan dengan kaya jiwa? Kaya jiwa bermaksud jiwa yang mempunyai segala sifat mahmudah, keimanan yang kukuh, jiwa yang kental, dan jiwa yang sentiasa berasa cukup dengan pemberian Allah SWT, tanpa pernah mengeluh dan mempersoalkan pemberian-Nya. Ianya berlawan dengan miskin jiwa yang berupa sikap tidak pernah bersyukur dengan harta yang dimiliki, sama ada sedikit ataupun banyak, dan jiwa yang enggan membuat amal kebajikan.

Insan yang kaya jiwanya, tidak akan berasa tersepit tatkala tidak berharta ataupun tidak berasa angkuh, sombong, mahupun bakhil tatkala dianugerahi harta yang melimpah. Bagi mereka, kedua-duanya sama sahaja dan mereka berpegang dengan keyakinan terhadap takdir Allah SWT, seterusnya mengimaninya sebagaimana tuntutan Rukun Iman yang telah disyariatkan kepada setiap hamba-Nya.

Terdapat dua persepsi dalam kalangan masyarakat tentang kekayaan. Pertamanya, segelintir masyarakat beranggapan bahawa kekayaan itu tidak perlu kerana hal itu ibarat terlalu mengejar keduniaan. Sebenarnya, kita juga memerlukan kekayaan, asalkan kekayaan itu disalurkan ke tempat yang sepatutnya. Sebagai contoh, individu yang kaya sepatutnya membantu kumpulan yang memerlukan dengan harta yang dimiliki, bukan digunakan untuk kepentingan diri sahaja kerana di dalam rezeki kita, terdapat rezeki orang lain juga.  Persepsi yang kedua adalah kekayaan itu perlu untuk hidup bahagia di dunia. Perkara tersebut ada benarnya, tetapi ianya perlulah berpada-pada dalam usaha mendapatkannya kerana kadang-kadang kebahagiaan tidak akan datang sekiranya kita terlalu fokus terhadap rezeki yang dicari.

Hati ataupun jiwa perlulah diutamakan kekayaannya supaya aspek kekayaan yang lain akan menyusul. Kaya jiwa boleh dianggap sebagai magnet yang berupaya untuk menarik nikmat Allah yang selebihnya. Bagaimana ianya boleh berlaku? Cuba kita fikirkan, jika jiwa kita dihiasi dengan pelbagai elemen-elemen kebaikan, maka kebaikan akan kita dapat daripada-Nya. Sesuai dengan firman Allah SWT;

“Dan setiap kebaikan yang kita lakukan akan dibalas dengan kebaikan pula.”
[Surah Ar-Rahman, 55:60]

Jika kita lihat dalam kelompok masyarakat, ada yang miskin tetapi kaya jiwanya dan tidak terkecuali juga ada yang miskin bahkan jiwanya juga turut miskin. Golongan yang kedua ini dikira teruk kerana bukan sahaja tidak berharta, malah perlakuan mereka juga buruk dan memudaratkan masyarakat sekeliling. Lebih baik memiliki perangai yang baik dan disenangi orang walaupun kurang berharta, seperti golongan kedua kerana golongan ini menerima takdir kehidupan mereka dengan redha dan berusaha supaya kehidupan mereka bahagia, tidak terkesan dengan kesusahan hidupnya. Walaupun begitu, alangkah baiknya jika ada golongan yang kaya kedua-duanya, iaitu kaya harta dan kaya jiwanya. Golongan ini sudah pasti bahagia di dunia mahupun di akhirat dengan berkat harta kekayaan yang dibelanjakan semata-mata kerana Allah SWT, ditambah pula dengan memiliki akhlak yang mulia.

Kesimpulannya, kaya jiwa adalah kekayaan yang abadi dan hakiki, penting untuk disemai ke dalam diri setiap individu. Jangan miskin harta dan turut miskin jiwa, cuba dan berusahalah untuk tidak miskin harta tetapi hanya kaya jiwa, akan tetapi jadilah kaya harta, malah kaya jiwa.

Oleh Nor Rasyidah Rosdi
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU)