Bahana fitnah

Kisah fitnah isteri Rasulullah

SUNGAI  DUA, ISNIN – Siri Usrah Wanita anjuran Biro Wanita ISMA cawangan Seberang Perai Utara (SPU) diteruskan dengan kisah sirah Hadisul Ifqi yang disampaikan oleh Ustazah Norhayati Abdul Wahab dengan membawakan kisah pembohongan dan fitnah ke atas Saidatina Aisyah dan menjadi asbab Allah SWT menurunkan ayat ke 11 sehingga 22 dalam surah an-Nur.

“Kisah ini berlaku ketika perjalanan Rasulullah, kaum Muslimin serta Saidatina Aisyah pulang dari perang dengan Bani Mustaliq. Saidatina Aisyah yang turut mengikuti rombongan tertinggal selepas rombongan tersebut berhenti di satu kawasan.

“Setelah itu, sahabat Nabi iaitu Safwan bin Mu’attal yang berada di pasukan belakang menemui Saidatina Aisyah dan membawanya ke tempat kaum muslimin berkumpul dengan menuntun beliau di atas unta,” kata Ustazah Norhayati Abdul Wahab

Beliau juga menambah bahawa peristiwa ini dimanfaatkan oleh orang–orang munafik seperti Abdullah bin Ubay dengan menyebarkan fitnah mengatakan bahawa isteri dan sahabat Nabi telah berzina sehinggakan orang ramai mempercayai pembohongan tersebut. Beberapa orang sahabat turut sama menyebarkan fitnah tersebut antaranya Misthah bin Utsatsah, Hassan bin Tsabit dan Hamnah bintu Jahsy.

Selepas mengetahui fitnah tersebut, Aisyah terlalu sedih dan terluka, begitu juga Nabi SAW serta keluarga. Namun mereka berharap dan mengadu hanya kepada Allah SWT. Selama sebulan hati-hati mereka diselubungi kegundahan dan keraguan disebabkan fitnah tersebut sehinggalah Allah SWT menurunkan wahyu di dalam surah an-Nur ayat 11 hingga 20 bagi membersihkan Aisyah daripada semua tuduhan palsu tersebut.

Menurut Islam, orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada orang lain yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya di sebut sebagai qazaf dan hukumannya adalah sebat sebanyak 80 kali.

“Dalam surah an-Nur ayat 4, Allah SWT berfirman; dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa 4 orang saksi, maka sebatlah mereka dengan 80 kali sebatan dan janganlah kamu menerima penyaksiannya itu selama-lamanya, kerana mereka itulah orang-orang yang fasik.

“Apabila menerima sebarang berita atau khabar angin, umat Islam perlu bijak menilai dan memastikan kesahihan sesuatu perkara kerana kesan buruk akibat fitnah atau kebohongan akan mengundang perpecahan dalam kalangan masyarakat sehingga membawa kepada kehancuran sesebuah negara,” ujarnya.

Siti Nurfarhana Bt Ahmad Puat
Wartawan Biro WANITA
ISMA Seberang Perai Utara