Kesederhanaan dalam menyambut Syawal

raya-2013_banner-3

Ramadhan yang mulia sudah berlalu meninggalkan kita. Adakah kita akan bertemu Ramadhan pada tahun hadapan? Sama-samalah kita panjatkan doa semoga Allah SWT menemukan kita dengan Ramadhan tahun hadapan. Semoga amal ibadat luar biasa yang kita lakukan di bulan Ramadhan yang lalu akan terus kita lakukan dan pertingkatkan di sebelas bulan yang berikutnya.

‘Taqaballahu minna wa minkum Wa ja’alana minal’aidin wal faizin’
‘Semoga Allah menerima (puasa) kita dan menjadikan kita kembali (dalam keadaan suci) dan termasuk orang-orang yang mendapatkan kemenangan.’

Selepas Ramadhan, kita diberikan nikmat oleh Allah SWT untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri di bulan Syawal. Pasti sudah banyak persiapan yang kita lakukan untuk menyambutnya termasuklah baju raya, biskut raya, dan segala macam raya lagi. Namun begitu, amalan berjimat dan bersederhana haruslah dibudayakan dalam kehidupan kita selamanya. Jangan sampai berbaju raya tetapi tabarruj dan berbiskut raya sehingga tak larat untuk solat di awal waktu.

Kebiasaan ketika berhari raya sudah pastilah amalan ziarah menziarahi. Amalan ini memang dianjurkan dalam Islam supaya kita dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama umat Islam terutamanya bersama saudara-mara dan sahabat-handai yang jauh dan jarang kita temui. Amalan ini bukan sekadar bergelak ketawa menceritakan kehidupan masing-masing tetapi juga untuk saling bermaafan dan memperbaiki hubungan yang renggang dek duduk berjauhan atau berselisih faham. Nabi SAW pernah bersabda ertinya,

‘Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.’

(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Ketika ziarah, anak-anak pasti seronok kerana ternanti-nanti duit raya yang bakal diterima daripada tuan rumah yang diziarahi. Ada juga ibu bapa yang sudah sedia membelikan beg raya khusus untuk anak-anak menyimpan duit raya yang diterima. Sewajarnya kita sebagai ibu bapa haruslah mengingatkan tujuan sebenar untuk menziarahi orang lain. Tujuannya bukanlah hanya untuk mengutip duit raya tanpa bermaafan, bertanya khabar, menjamu selera dan sebagainya. Selain itu, kita hendaklah sentiasa menasihati anak-anak tentang adab-adab di rumah orang. Pastikan anak-anak bersalaman dengan tuan rumah (jika sudah baligh, ajar mereka dengan siapa yang boleh dan tidak boleh disalami). Jangan berlari-lari atau bermain seperti di rumah sendiri. Makan dengan adab bersederhana. Elakkan bergaduh sesama adik-beradik di hadapan tuan rumah. Jika anak masih kecil dan tidak mengerti pesanan kita, haruslah kita sentiasa mengawasi mereka agar tidak menyusahkan tuan rumah. Tuan rumah pasti bersangka baik dengan anak kecil jika berlaku apa-apa seperti pasu pecah dan sebagainya. Tetapi, mana tahu pasu yang pecah itu sangat bernilai baginya, apatah lagi jika ia dibeli di luar negara atau hadiah daripada seseorang yang bermakna. Oleh itu, janganlah kita berputus asa menasihati dan mengawasi anak-anak kita sebelum dan semasa menziarahi rumah orang lain.

Bagi sesetengah masyarakat yang berkemampuan pula, amalan rumah terbuka adalah acara tahunan yang akan dilakukan. Tapi, bagi yang tidak berkemampuan, usahlah membebankan diri mengadakan rumah terbuka. Cukuplah sekadar meraikan tetamu yang berkunjung ke rumah kita. Berbalik kepada rumah terbuka, tidaklah salah meraikan saudara-mara, jiran tetangga, sahabat-handai, dan masyarakat sekeliling di hari berbahagia ini. Di samping meraikan mereka, pastikan kesederhanaan masih dibudayakan dalam rumah terbuka yang kita anjurkan. Janganlah dilakukan pembaziran, pergaulan bebas, hiburan melampau dan sebagainya yang lagho serta tidak mendatangkan manfaat. Elakkan percampuran lelaki dan perempuan serta pesta karaoke yang di luar batas syariat. Dikhuatiri, amalan luar biasa di bulan Ramadhan menjadi sia-sia disebabkan perkara-perkara seperti ini.

Justeru, marilah kita bersama keluarga membudayakan kesederhanaan dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri. Semoga apa yang kita lakukan menjadi qudwah masyarakat di sekeliling kita. Janganlah kita termasuk orang-orang yang rugi dalam meraikan hari yang mulia ini.

‘Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam keadaan merugi (celaka), kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, saling menasihati dalam kebenaran dan saling menasihati dalam kesabaran.’

(Al-Asr : 1-3)

Oleh Ummu Uwais
AJK Biro Keluarga & Masyarakat
ISMA Seberang Perai Utara