Fatwa Tarjih “Wajib” Solat Jemaah

11257835_10203433645276345_6975219618207052916_n

Bismillah..Alhamdulillah..Wassalatu wassalamu Ala Rasulillah..

Masjid dan Surau kembali suram seperti sediakala sebelum menyambut Ramadhan. 2/3 daripada Bilangan mereka yang hadir pada bulan Ramadhan sudah lenyap. Lampu dan kipas jumlahnya lagi ramai dari jemaah yang hadir solat Jemaah.

Di sini saya berfikir dan mencadangkan kepada institusi fatwa di Malaysia dan seluruh dunia jika pandangan saya ini relevan untuk mengeluarkan satu fatwa sepakat supaya mentarjihkan seterusnya memfatwakan solat jemaah itu wajib bukan lagi sunat Muaakad dan lain-lain.

Ini kerana, semua kita tahu, fatwa adalah mengikut peredaran zaman dan tempat. Oleh yang demikian, apabila kita melihat zaman yang penuh dengan kerosakan akidah, tidak mendaulatkan hukum Allah, bermudah dalam urusan agama yang terlajak, kesepakatan umat yang menjadi tunjang kepada kekuatan umat telah terhakis, maka perlu kepada fatwa untuk kembali menyusun saf, memperbetulkan Akidah, meningkatkan kefahaman dan menaikkan ruh kehambaan dalam jiwa umat Islam. Tarjih fatwa Wajib boleh dimulakan dari noktah ini.

Jika Majlis fatwa boleh memfatwakan penghrusan pelaburan ASB misalnya kerana ada Dharurat, maka apakah Maslahah dan Dharurat yang lagi besar daripada Hifzu Din umat Islam dengan solat berjemaah di Masjid dan surau-surau. Tarjih Fatwa wajib juga boleh bermula dari sini.

Pihak Fatwa perlu memulakan kempen ini yang perlu dijalankan di agensi-agensi Kerajaan dengan mewajibkan penjawat awam solat di Masjid Surau ketika rehat dari bekerja dan ketika pulang, seterusnya kempen solat di Masjid dan surau-surau tempatan oleh Jabatan-Jabatan agama Islam Negeri.

Usaha ini perlu dilihat serius jika ingin melihat umat Islam kembali kuat dan bersatu padu. Sesungguhnya Solat itu suatu penyelesain yang bersifat holistik yang diwajibkan oleh Allah SWT, dan Diajarkan oleh Baginda SAW kepada kita untuk menunaikannya secara berjemaah.

Ayuh semua, rapatkan saf, kita kembali kepada amalan sunnah.

Wallahua’lam.

Ustaz Muhammad Ikram Bin Abu Hassan
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pulau Pinang