Ramadhan: Hadirmu dinanti pemergianmu ditangisi

usrah-wanita-3

SUNGAI DUA, 3 Jun – Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia Seberang Perai Utara (ISMA SPU) telah berjaya menganjurkan Usrah Wanita bulanan.
Usrah bulanan yang diadakan di Kampung Pengkalan Machang itu berkisar tentang Ramadhan yang bakal menjelma.

Ustazah Norhayati binti Abdul Wahab telah memulakan usrah tersebut dengan Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 183. Menurut beliau, bulan Ramadhan bagi orang munafik adalah bulan yang menghimpit dan keluh-kesah. Bulan Ramadhan bagi orang beriman adalah bulan yang paling baik dan dinanti-nantikan.

“Kita perlu berusaha untuk mendapatkan Ramadhan yang terbaik. Ramadhan adalah anugerah daripada Allah untuk hamba-hambaNya diampuni dosa” kata Ustazah Norhayati.
Beliau juga ada menyebut tiga perkara yang perlu dilakukan supaya diampuni dosa oleh Allah, iaitu berpuasa penuh di bulan Ramadhan, menghidupkan malam- malam di bulan Ramadhan dengan solat terawih dan menghidupkan sepertiga malam dengan solat sunat tahajjud.
“Bulan Ramadhan menyatukan hati sesama manusia kaya dengan miskin dan menyatukan hati manusia dengan Allah ” tambah Ketua Biro Wanita ISMA SPU itu lagi.

Selain itu, beliau ada menyatakan salah faham manusia terhadap puasa, iaitu:

  1. Sesetengah manusia hanya puasa lapar dan dahaga tetapi tidak menahan diri daripada melakukan dosa-dosa yang lain.
  2. Sesetengah manusia hanya bersungguh-sungguh beribadah pada awal Ramadhan tetapi meninggalkan ibadah di 10 malam terakhir.
  3. Sesetengah manusia membaca Al-Quran tetapi mengabaikan ahli keluarganya daripada diajak untuk beribadah bersama-sama.
  4. Sesetengah manusia berpuasa tetapi mengabaikan sahur.

Beliau turut berkongsi formula untuk menghabiskan bacaan Al-Quran dalam bulan Ramadhan dengan cara bertilawah (membaca secara sendirian) dan bertadarus (membaca Al-Quran secara beramai-ramai) seperti yang banyak diadakan di masjid-masjid.

Usrah Wanita kali ini diakhiri dengan tips amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah, iaitu:

  1. Memperbanyakkan tahlil (laa ilaha illallah)
  2. Beristighfar (Astaghfirullah ‘adhzim)
  3. Memohon keredhaan Allah dan Syurga ( Allahumma inni as aluka ridhaka wal jannah)
  4. Memohon perlindungan daripada kepanasan api neraka (a’udzubika min sakhatika wannar)

Beliau juga menyebut amalan yang mendekatkan diri sesama manusia, iaitu banyakkan bersedekah.

Oleh Norfaiezah binti A. Rahman
Wartawan Biro Wanita ISMA SPU