Ramadhan: bulan kesihatan bulan ibadah

Ramadhan 2016BANDAR PERDA, 1 Jun – Seminar Fiqh Wanita anjuran Biro Keluarga dan Masyarakat, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) tampil menyemarakkan kehangatan Ramadhan dengan tema Wanita dan Kesihatan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Baru Perda baru-baru ini yang bertujuan untuk berkongsi dengan para wanita mengenai tips pemakanan sihat dan panduan menghidupkan Ramadhan agar dapat membentuk insan bertakwa.

Kehangatan seminar dimulakan dengan slot ‘Dapur Ramadhan’ yang disampaikan oleh Pegawai Dietetik Hospital Bukit Mertajam, Puan Noor Taufikhiah Harun yang menekankan untuk para wanita memberi keutamaan mengambil makanan yang kurang kandungan lemak, gula dan garam serta perlu juga menambah pengambilan makanan yang kaya dengan serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, gandum dan kekacang. “Juadah yang disediakan juga mestilah sederhana, seimbang dan mencakupi kesemua nutrisi yang diperlukan oleh badan,” katanya.

Kerancakan seminar semakin dirasai apabila gandingan perkongsian dari sudut perubatan dan kerohanian di slot kedua yang berbentuk forum oleh Pegawai Perubatan Hospital Seberang Jaya, Dr Asma’ Khalid dan Guru Bahasa Arab SMK Taman Jelutong, Ustazah Norritta Abu Bakar.“Puasa memiliki banyak kebaikan antaranya memberi kerehatan kepada aktiviti perut seterusnya menyebabkan darah yang sebelum ini tertumpu di perut dapat mengalir kepada organ lain seperti otak dan jantung dan membantu individu tersebut untuk lebih fokus,” kata Dr Asma’ Khalid. Selain itu, ketika berpuasa salur darah akan mengecil dan menyebabkan tekanan darah menurun. Hal ini membantu mengurangkan tekanan dan membuatkan jiwa lebih tenang. Malah, pembakaran lemak untuk menghasilkan tenaga juga turut berlaku akibat penyerapan glukosa dan kolesterol yang sedikit.

Sementara itu, Ustazah Norritta Abu Bakar berkata puasa membantu seseorang itu untuk menjadi insan bertakwa kerana puasa itu bermaksud ‘pembakaran’ dan seseorang yang berpuasa seharusnya dapat menyingkirkan dosa-dosa yang dilakukan secara sengaja atau tidak kerana cabaran untuk berubah adalah nafsu sendiri. “Dengan wujudnya hati yang hidup dan bersih, maka al-Quran itu akan mudah mengesani jiwa-jiwa untuk membentuk insan yang bertakwa mengikut acuan Islam yang sebenar,”

“Seorang muslim dituntut yang menantikan kehadiran Ramadhan dengan penuh kerinduan, persiapan yang besar untuk memasuki bulan yang besar ini dengan taubat kepada Allah SWT, saling bermaafan sesama muslim, menunaikan kebajikan terhadap ibu bapa, menjaga kesihatan dan berjaga-jaga dengan sifat marah,”

Beliau menambah bahawa masyarakat perlu diberi kefahaman yang sebenar tentang Ramadhan agar bulan ini tidak hanya diisi dengan persiapan menyambut Syawal seperti mencantikkan rumah dan membeli pakaian baharu, tetapi memenuhi Ramadhan dengan aktiviti bertadarus serta memperbanyak taubat kepada Allah.

Oleh Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita
ISMA Seberang Perai Utara