Ramadan Outreach bawa Remaja bermuhasabah dengan kehidupan

ROOO2

Kepala Batas, 28 Jun – Ramadan Outreach yang dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) Seberang Perai Utara (SPU) berjaya menghidupkan semangat bantu-membantu, berkongsi dan berkorban kepada peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar Pulau Pinang bertemakan mesej “hulurkan tangan, ringankan beban”.

Program ini secara tidak langsung menyemarakkan kesedaran dan kesyukuran dalam kalangan peserta kerana mereka dapat bermuhasabah mengenai kehidupan masing-masing apabila dibandingkan dengan penerima sumbangan Ramadan Outreach.

Penerima sumbangan wang dan barangan keperluan harian, Puan Ros yang mempunyai 11 orang cahaya mata dan menggalas tugas sebagai ketua keluarga sejak suaminya disahkan menghidap kanser tahap tiga sejak kira-kira sebulan yang lalu dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Selain menyampaikan sumbangan, KRIM SPU dengan kerjasama Biro Dakwah dan agensi ISMA SPU yang lain turut membantu Puan Ros membersihkan kediaman sebagai persediaan menyambut lebaran tidak lama lagi.

Rata-rata para peserta yang terlibat melahirkan kekaguman terhadap ketabahan dan kecekalan Puan Ros yang teguh dan utuh menghadapi dugaan yang melanda keluarganya Ramadan ini.

Oleh Nursyazana Jamaludin
Wartawan Biro KRIM Pulau Pinang