Pemakanan Sihat di bulan Ramadhan (Bahagian 1)

pemakanan_sihat_post_1
Pemakanan di bulan Ramadhan tidak jauh bezanya dengan bulan- bulan biasa. Konsep pemakanan sihat iaitu BMV diet haruslah diamalkan. Apa itu BMV diet? B= Balance iaitu seimbang, M= Moderate iaitu sederhana dan V= Variety iaitu Pelbagai. Seimbang yang dimaksudkan ialah mempunyai kesemua makronutrien utama yang terdiri daripada karbohidrat , protein dan lemak serta mikronutrien seperti vitamin- vitamin yang kebanyakkannya boleh diperolehi daripada makanan berserat tinggi, buah-buahan dan sayur-sayuran. Contoh makanan berkarbohidrat adalah seperti bijirin, nasi, mee, roti dan ubi-ubian. Makanan berprotein pula terdiri daripada ayam, daging, ikan, makanan laut, kekacang dan produk tenusu. Manakala contoh makanan berlemak ialah minyak, mentega, santan dan lain-lain lagi. Cara paling mudah untuk mengamalkan pemakanan sihat adalah dengan mengikuti model pinggan sihat seperti dalam gambarajah di sebelah.

Kunci kepada pemakanan sihat adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak, makanan manis atau bergula dan makanan yang tinggi garam atau sodium serta menambahkan pengambilan serat . Kesimpulannya amalkan 3K 1T ( Kurang Lemak, Kurang gula, Kurang garam, dan Tambah serat)

Pengambilan kolesterol, lemak tepu dan lemak trans yang berlebihan boleh menyebabkan paras kolesterol dalam darah anda tinggi. Tetapi pengambilan lemak baik, Lemak Mono Tak Tepu ( MUFA) dan Lemak Poli Tak Tepu (PUFA) boleh membantu mengurangkan risiko paras kolesterol dalam darah. Contoh makanan berkolesterol adalah telur kuning, organ dalaman dan makanan laut .

Lemak tepu terdapat dalam tumbuhan dan haiwan. Contoh daripada tumbuhan termasuklah santan, minyak kelapa dan minyak kelapa sawit. Lemak tepu daripada haiwan ialah daging berlemak, kulit haiwan dan juga hasil atau produk daripada haiwan seperti mentega dan susu penuh krim atau susu segar . Antara makanan yang mengandungi lemak trans pula ialah snek atau keropok, biskut berkrim, marjerin, makanan sejuk beku, dan produk bakeri. Contoh makanan yang mengandungi lemak baik (PUFA) dan (MUFA) adalah minyak sayuran, kekacang dan bijian, serta omega 3 yang terdapat pada kebanyakkan ikan laut.

Terdapat beberapa perkara penting mengenai pemakanan yang harus diberi perhatian di bulan Ramadhan. Sahur perlu diambil setiap hari. Ambil sahur dengan makanan lengkap seperti model pinggan sihat di atas. Nasi boleh diganti dengan makanan berkarbohidrat yang lain seperti roti penuh mil, mee, bihun dan makanan karbohidrat yang lain. Pastikan ada sumber serat seperti sayur dan buah.

Berbuka dengan segera apabila tiba waktu berbuka. Seeloknya, berbuka dengan makanan yang manis dahulu kemudian disusuli dengan solat magrib sebelum menikmati juadah lengkap yang lain bagi mengelakkan kejutan insulin dan membantu mencegah kita makan berlebihan.

Pengambilan air kosong di malam hari amatlah digalakkan bagi mengelakkan badan terhidrasi. Selain itu moreh pula boleh di ambil sebagai pengganti waktu supper dengan meminimumkan pengambilan lemak. Susu rendah lemak adalah cadangan yang terbaik untuk diambil pada waktu ini.

Oleh Puan Noor Taufikhiah Binti Harun
Pegawai Dietetik Hospital Bukit Mertajam