KRIM SPU komited dalam Kempen Wajah Gemilang Remaja Malaysia

DSC_0605

Kepala Batas, 28 Jun – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Seberang Perai Utara (SPU) komited dengan kempen Wajah Gemilang Remaja Malaysia dan menyeru setiap pihak untuk turut memberi kerjasama positif di dalam projek pembangunan potensi remaja supaya berlakunya perubahan positif daripada aspek motivasi, iltizam dan jati diri para remaja sekitar Pulau Pinang.

“Remaja merupakan golongan yang mempunyai tenaga, semangat yang perlu dihalakan ke arah yang positif dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Seringkali saya ulang dan ulang, remaja ini ibarat mutiara di lautan, andai tidak di usaha untuk mendapatkannya, maka nilai mutiara itu tiada harga,

“Begitulah remaja, andai tidak digilap dan didorong ke arah nilai positif sebagai seorang remaja, maka tidak terserlahlah wajah gemilang remaja Malaysia ini,” ulas Nurul Suhaida Ibrahim, Setiausaha Kelab Remaja ISMA SPU ketika program Akademi Remaja Kelab Remaja ISMA SPU (ARK) yang pertama iaitu Ramadan Outreach.

Bersempena dengan kempen KRIM yang dijenamakan semula iaitu Wajah Gemilang Remaja Malaysia, KRIM SPU menganjurkan Ramadan Outreach untuk membentuk potensi positif remaja sekitar Pulau Pinang.

Ramadan Outreach ialah program susulan kepada program terdahulu iaitu Cuci Masjid yang telah berlangsung serentak di serata Malaysia pada awal Ramadan.

“Alhamdulillah, para peserta dalam kalangan remaja memberi maklum balas yang sangat baik antaranya meluahkan rasa seronok kerana berpeluang menyertai khidmat masyarakat bersama KRIM dalam program Ramadan Outreach”, katanya lagi.

Oleh Nursyazana Jamaludin
Wartawan Biro KRIM Pulau Pinang