Khidmat Masyarakat bukan untuk suka-suka

DSC_0651

Kepala Batas, 27 Jun –“Betulkan niat dan tujuan semasa melakukan khidmat masyarakat pada hari ini supaya ia memberi didikan kepada jiwa dan bukannya untuk suka-suka,” ujar Pengarah Kelab Remaja ISMA (KRIM) Seberang Perai Utara (SPU), Mohd Lutfi Itam sewaktu majlis penutup Ramadan Outreach.

“Sekiranya tidak banyak, cukuplah sedikit kesedaran dan kesyukuran atas kehidupan yang dikurniakan Tuhan kepada kita jika dibandingkan dengan insan yang kurang bernasib baik,” tambahnya yang aktif di dalam ISMA SPU sejak daripada ISMA Australia dengan pelbagai aktiviti khidmat masyarakat dan program cakna ummah antaranya dengan mengetuai penganjuran Roadshow Aman Palestin ketika di Australia.

Ramadan Outreach merupakan program pertama Akademi Remaja KRIM SPU untuk sesi 2016 dan akan disusuli oleh program-program lain yang membentuk keperibadian remaja Muslim.

Dalam melahirkan tokoh remaja Muslim yang hebat, Akademi Remaja KRIM yang serentak dijalankan di seluruh Malaysia akan mengetengahkan pelbagai bentuk aktiviti yang khusus untuk remaja Muslim baik lelaki mahupun perempuan.

Antara program yang sedang berlangsung dalam waktu terdekat ini ialah program khidmat masyarakat bertemakan Ramadan.

Oleh Nursyazana Jamaludin
Wartawan Biro KRIM Pulau Pinang