Infaq dan edaran kurma sambut Ramadhan

edaran-kurma

BERTAM, 4 Jun- Sempena menyambut ketibaan Ramadhan yang bakal tiba, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) bersama-sama dengan Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia Seberang Perai Utara ( BiDak ISMA SPU) telah menganjurkan projek infaq dan edaran kurma bertempat di taman rekreasi Vision Park, Bertam. Projek ini disertai lebih kurang 25 orang sukarelawan termasuklah AJK BKM dan BiDak serta masyarakat setempat pada 4 Jun yang lalu.

Projek ini dilaksanakan bertujuan untuk menyantuni masyarakat di samping mengajak bersama-sama merasai kemeriahan kedatangan Ramadhan. Projek yang bermula sedari 18 Mei itu, telah memulakan kutipan infaq kepada orang awam dan juga ahlinya sehingga 2 Jun. Susulan itu, kemuncak projek iaitu pada 4 Jun diteruskan dengan aktiviti membungkus dan mengedar kurma hasil daripada kutipan tersebut. Tepat jam 2:30 petang para sukarelawan memulakan pembungkusan kurma seterusnya membuat edaran sehingga selepas asar di sekitar taman rekreasi tersebut.

edaran_kurma_3

Kemeriahannya kian dirasai, apabila orang awam yang berkunjung di taman rekreasi tersebut juga turut diberikan sedikit bingkisan yang berupa taqwim solat Ramadhan 1437H dan risalah daripada ISMA. Kehangatannya kian bertambah, apabila booth Klinik Bacaan Al-Fatihah juga diadakan yang mana pengunjung berpeluang memperdengar dan membetulkan bacaan mereka .

Salah seorang sukarelawan yang dikenali sebagai Pn. Mariana binti Ahmad, dari Kubang Menerong berkata, “Saya berasa sangat teruja dapat mengikuti program ini. Harap boleh diteruskan lagi untuk memberi manfaat kepada semua.”

edaran_kurma_2

Oleh Nor Ashida binti Ahmad
Unit Media Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA SPU