Israk Mikraj: menyingkap tabir kekuasaan Allah

ayat_madaniyah_1

SUNGAI DUA, 9 Mei – Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Seberang Perai Utara (SPU) telah berjaya membawa peserta menyingkap pengajaran di sebalik perjalanan Nabi Muhammad SAW bertemu Allah di Sidratul Muntaha.dengan menganjurkan Usrah Wanita yang berkisar tentang peristiwa Israk Mikraj di Kampung Pengkalan Machang.

Usrah bulanan kali ini dimulakan dengan alunan Surah Al-Isra’ ayat satu yang dibacakan oleh salah seorang peserta yang hadir.

“Peristiwa Israk dan Mikraj menunjukkan kepentingan solat kerana nabi menerima sendiri daripada Allah,” kata Ketua Wanita ISMA cawangan Seberang Perai Utara, Ustazah Norhayati Abdul Wahab.

Menurut beliau, peristiwa Israk dan Mikraj tidak mustahil untuk berlaku dan ia menjadi bukti kekuasaan Allah.

“Peristiwa Israk dan Mikraj adalah proses tapisan Allah untuk menguji keimanan umat Islam sama ada beriman atau tidak,” tambah beliau lagi.

Dalam peristiwa tersebut juga, Nabi SAW menjadi imam kepada para nabi dan memperlihatkan bahawa Baginda sebagai penghulu para nabi.

Ustazah Norhayati turut berpesan dalam sesi soal jawab berkenaan peranan wanita dalam membuang sifat-sifat buruk yang ada di dalam diri, menutup aurat dengan sempurna, menjaga lidah dan maruah agar tidak menerima balasan seperti gambaran seksaan yang dilihat sepanjang perjalanan Nabi SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Sementara itu, salah seorang peserta merasakan pendekatan yang dibawa oleh Wanita ISMA SPU dapat memberi peluang kepada peserta bersoal jawab dengan penceramah dengan lebih dekat.

“Cara begini bagus kerana peserta lebih dekat dengan Ustazah berbanding ceramah di masjid kerana kami mudah dan tidak malu untuk bertanya dengan lebih lanjut,” kata salah seorang peserta yang lebih mesra menggelarkan dirinya sebagai Ibu.

Usrah sempena peristiwa bersejarah ini berakhir dengan sesi tayangan berkaitan keadaan umat Islam hari ini terutama di Palestin, Mesir dan yang terkini di Syria.

Oleh Norfaiezah A.Rahman
Wartawan Biro Wanita
ISMA Seberang Perai Utara