Ahli ibadat yang tidak mengesani jiwa manusia

ahli-maksiatBismillahirrahmanirahim.

Suatu kefahaman yang sentiasa perlu ada dalam diri setiap para Duat Islam tidak kiralah di Surau, Masjid, Badan dakwah, Gerakan Islam, ataupun di Jabatan Agama bahawa tentang tugas asasi seorang duat itu ialah mengesani lalu mengubah manusia sekelilingnya kembali kepada Allah SWT.

Namun, mengapakah sentiasa para duat sukar mengesani berbanding cerita hantu, cerita dongeng penyelamat dunia seperti Ultraman Batman, Spiderman, Cicak man? Bahkan, Muzik juga menjadi suatu elemen yang paling suka didengari bahkan boleh dinyanyikan beramai-ramai dalam konsert.
Sudah tentulah elemen-elemen yang mudah mengesani ini kebanyakannya bukan ingin mengembalikan manusia kepada Allah SWT daripada merosakkan dan mengisi jiwa dengan kekosongan.

Apakah para duat yang sepatutnya menjadi ahli ibadat hari ini tidak lagi boleh digelar dan disifatkan begitu ataupun mereka memang tidak beribadat?

Bukankah apabila seseorang hamba yang kerap ke masjid, surau, pejabat harakah dakwah untuk bermesyuarat itu mereka sentiasa mengutip mutiara-mutiara untuk disebarkan mutiara itu dengan orang ramai?

Bukankah perbuatan seseorang itu lebih diikuti dan dijadikan qudwah berbanding bercakap-cakap dan menyuruh?

Oleh yang demikian, di mana silapnya ahli Ibadat lantaran kita melihat berbondong-bondong manusia pergi mendahulukan perkara dunia berbanding urusan ukhrawi?

Memahami agama ini dengan jelas membuatkan kita menjawab persoalan-persoalan di atas dengan mudah dan dengan hati yang penuh dengan kehibaan antaranya:

1. Ahli Ibadat sendiri tidak mengamalkan dengan benar apa yang mereka seru. Hanya tin-tin kosong yang memekik-mekik menyuruh orang lain menginfaqkan harta dan tenaga pada jalan Allah misalnya. tetapi si pemekik itu, hanya memberi apabila dia ingin beri dan mahu mendapat habuan dari pemberiannya.

Cerita si Pak Ustaz yang merajuk disebabkan surau yang tidak memberinya ufti atas pengajarannya seringkali sahaja terdengar.

Cerita si pemberi yang tidak akan memberi dengan menutup matanya sendiri supaya tidak ingin diketahui dirinya sendiri dek kerana menjaga ikhlas sudah tidak kedengaran lagi. Apatah lagi menjadi trend setiap yang memberi mestilah mempamerkan cek yang besar walaupun jumlah yang diberi tidak semahal cek yang besar itu. Dan juga mesti dimaklum di status Facebook. Padahal ruh infaq dalam Islam itu ialah melalui sir (sembunyi). Ke mana mu pergi wahai sir??

Mengapa mengekal Sifat buruk ini wahai A’bid??

2. Hati ahli ibadat yang banyak noktah-noktah hitam mengelilingi sehingga tiada ruang cahaya yang boleh terpancar. Semuanya lahir dari hati yang tidak dirawat dengan sifat riak, ujub, takabbur, khianat dan lain-lain.

Seringkali terdengar AJK Surau dan Masjid bergaduh dan bermasam muka sama sendiri. Para anggota gerakan dakwah sehingga bermusuhan atas matlamat yang sama.

Allahuakbar!!

Amalannya sia-sia, penat lelahnya hanya terbuang begitu saja. Oh A’bid ikhlaskanlah hatimu.

Setiap penyakit pasti ada ubatnya khususnya penyakit hati yang sudah dijumpai ubatnya sejak berkurun lama. Namun janganlah biar hati terkena cancer sehingga menutup ruang ubat hati bahkan merosakkan anggota lain pula dengan sel-sel yang jahat.

Wahai A’bid jiwa umat memerlukan sinarmu. Bangkitlah segera pergi kepada tuhanmu. Laksanakanlah perintah tuhanmu, ikhlaskanlah ibadatmu.

Nasihat buat hati sendiri dan hati-hati para Dua’t A’bid sekalian.

Wallahuallam.

Ustaz Muhammad Ikram Abu Hassan
Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)
Pengerusi PEMBINA Pulau Pinang
Ketua Biro Belia ISMA Seb Perai Utara