TSIQAH KUNCI KEPIMPINAN PEDOMAN

Apa itu tsiqah? Tsiqah, menurut Imam Hasan Al-Banna ialah ketenangan jundi terhadap qiyadah (pemimpin) dalam kemampuan dan keikhlasan yang menjadikannya semakin cinta, menghargai, menghormati serta taat. Dalam gerabak dakwah, perkara pertama yang perlu diterapkan ialah nilai ukhuwah, kemudian tsiqah dan hasilnya ialah nilai taat kepada pemimpin. Begitu juga firman Allah:

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan kemudian, mereka tidak keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya” (An-Nisa, 4:65)

Tsiqah kepada Allah

Nilai tsiqah kepada Allah ialah rasa percaya atas janji Allah. Yakinlah kepada Allah bahawa Dia akan memberi pertolongan kepada hamba-hamba-Nya. Sebagai contoh, kisah ibu nabi Musa yang amat yakin dengan janji Allah apabila Allah perintahkan beliau untuk menghanyutkan nabi Musa ke dalam sungai Nil. Tanpa kita sangka, pada saat firaun memerintahkan semua bayi lelaki dibunuh, tetapi Allah telah selamatkan Nabi Musa dengan hidup dekat dengan firaun, dan Allah juga tidak pisahkan nabi Musa dengan ibunya, Masya-Allah. Hal ini membuktikan bahawa janji Allah itu benar dan Allah sentiasa mengabulkan permintaan hamba-Nya. Jawapan Allah tidak pernah tidak, tetapi jika doa kita masih tidak dimakbulkan, percayalah, bahawa Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita.

Tsiqah kepada Pahala Allah

Kedua, rasa tsiqah pada pahala Allah. Hidup di dunia ini, memang penuh dengan dugaan dan ujian yang sentiasa membuat kita goyah. Namun, kita memahami bahawa setiap dugaan yang datang itu, pasti ada hikmah di sebaliknya. Setiap kesusahan dan kesulitan yang kita perjuangkan untuk Allah, kita tahu ada balasan pahala untuk setiap perkara itu. Sama seperti berada di dalam gerabak dakwah ini, kita tidak boleh cepat berputus asa kerana kita yakin dengan pahala Allah. Dunia ini tempat kita bekerja dan syurgalah tempat kita berehat. Jika kita mudah mengalah pada jalan ini, gerabak dakwah ini akan terus berjalan untuk perjuangkan agama ini. Malah, Allah akan gantikan kita dengan orang yang lebih baik. Mahukah kita jadi seorang yang rugi? Tidak bukan, jadi kita perlu yakin dengan nilai pahala Allah. Semoga, kita jadi orang yang kaya pahala di akhirat sana kelak. InsyaAllah 😉

Tsiqah kepada syariat Islam

Ketiga, tsiqah kepada syariat Islam. Fitrah manusia itu suka akan kebaikan. Jadi, Islam itu juga fitrah. Percayalah, Islam itu agama yang lurus dan lambat laun manusia akan kembali juga kepada fitrah. Jadi, golongan manusia yang Allah kurniaan akal ini tidak boleh melanggar fitrah. Contohnya apa? Contohnya pada zaman millenia sekarang yang penuh dengan isu golongan (lesbian, gay, biseksual, trans gender) LGBT. Golongan ini ialah antara golongan yang melanggar fitrah hakikat kejadian mereka yang sebenar. Ingatlah kita akan balasan Allah, nanti Allah akan turunkan bala kepada golongan ini. Jadi, tugas amar makruf nahi mungkar kita perlu sentiasa berjalan. Sebarkan ilmu dan kebaikan supaya kita menjadi golongan yang dilindungi dari balasan bala Allah.

Tsiqah kepada pemimpin

Keempat, tsiqah kepada pemimpin. Qiyadah yang percaya bahawa jundinya mempunyai kemampuan untuk melaksanakan amanah dan percaya bahwa jundinya akan mendukung penuh perjuangan dakwah ini. Jundi yang percaya dengan kemampuan qiyadahnya dan percaya bahawa apa yang diperintahkan, dinyatakan, dilakukan oleh qiyadahnya itu benar, sesuai dengan syari’at islam. Banyak kisah yang menunjukkan mengapa kita perlu tsiqah kepada pemimpin yang jelas menunjukkan bahawa pengaruh tsiqah dan taat dalam jama’ah sememangnya menjadi pengaruh besar.

Sebagai contoh yang jelas dapat kita lihat ialah kisah perang Uhud. Perang yang terjadi di lembah Uhud itu boleh dikatakan umat muslim kalah dalam peperangan tersebut. Ramai para sahabat yang syahid dalam Perang Uhud iaitu Abu Dujanah, Mush’ab bin Umair, Abu Thalhah dan Ziyad bin Sakan. Dalam peperangan ini Rasulullah juga mengalami kecederaan yang agak parah. Pada masa itu juga ada khabar yang memberitahu bahawa Rasulullah telah meninggal.

Sebenarnya umat Islam pada awalnya menang dalam peperangan ini. Strategi yang disusun oleh panglima besar Rasulullah Berjaya membuatkan 3000 tentara musuh berundur dengan sangat cepat. Mereka merasakan bahawa telah memperoleh kemenangan. Pasukan pemanah yang ditempatkan oleh Rasul di atas bukit yang terletak di belakang kaum muslimin telah lupa pesanan Rasulullah:

“Berjagalah di tempat kalian ini dan lindungilah pasukan kita dari belakang. Bila kalian melihat pasukan kita berjaya membuatkan musuh berundur, jangan sekali-kali kalian turun. Demikian pula andai kalian melihat pasukan kita banyak yang gugur, jangan kalian bergerak membantu.”

Pasukan pemanah itu melanggar pesanan itu, ketika musuh berundur, mereka malah turun ke lembah untuk membantu mengumpulkan ghanimah. Melihat pasukan pemanah yang turun, kaum musyrikin pun balik menyerang lagi dipimpin oleh Khalid bin Walid dan diikuti oleh Ikrimah. Akhirnya ramai pasukan pemanah yang pun syahid dan pihak muslimin kalah. Perang Uhud yang mengisahkan tentang akibat besar kerana tidak tsiqah kepada pemimpin.

Oleh itu, tsiqah terhadap pemimpin merupakan perkara yang penting dalam jemaah. Tsiqah dan kepercayaan antara pemimpin dengan orang yang dipimpinnya jemaah itu kuat. Secara tidak jemaah tersebut akan menjadi lebih kuat dari anasir anasir-anasir luar mungkin harus dihadapi.

Tsiqah kepada teman seperjuangan

Yang terakhir, tsiqah kepada teman seperjuangan. Kita mesti percaya dengan teman seperjuangan kita terutamanya dalam jemaah. Oleh itu sebarang hal dapat dilakukan dengan baik apabila semua ahli saling mempercayai. Tsiqah berkait rapat dengan kekuatan. Sebagai contoh yang dapat kita ambil ialah tsiqah Umar kepada Abu Bakar: Apa yang membuat Umar begitu percaya kepada kekuatan Abu Bakar, padahal ia mendapatkan pengakuan Rasulullah:

“Allah meletakkan kebenaran di lidah dan hati Umar?” jawabnya: Tsiqah. Ketika pandangan hampir semua sahabat berpihak pada Umar untuk tidak memerangi golongan yang enggan membayar zakat dan Abu Bakar bertegas memerangi mereka, akhirnya Umar mengambil pandangan Abu Bakar. “Demi Allah, tak lain yang kulihat kecuali Ia telah melapangkan hati Abu Bakar untuk berperang, maka akupun tahu bahwa itu kebenaran”.

Secara tidak langsung ukhwah yang terbina juga baik dengan wujudnya saling mempercayai terutamanya dlam perjuangan. Ukhwah sangat ditekankan dalam kalangan umat Islam. Bahkan ia memberikan kebaikan yang banyak bagi menegakkan syiar agama ini. Apabila kaum muslimin berpecah, hilanglah kekuatan umat Islam. Maka orang Islam menjadi semakin lemah.

Kesimpulannya, rasa tidak tsiqah antara ‘qiyadah’ dan ‘junud’ ini tidak boleh berlaku dan ia mesti segera diperbaiki dengan cepat. Adapun usaha yang boleh kita lakukan untuk kembali mengukuhkannya di antaranya ialah saling memahami bahawa tsiqah antara ‘qiyadah’ dan’jundiyah’ merupakan modal besar dalam membangun dakwah, saling menyedari bahawa apa yang kita lakukan adalah dalam kerangka ubudiyah, berusaha untuk mengalah demi kemaslahatan dakwah yang jauh lebih besar, mencari pihak yang bersikap neutral dan dapat mengawal keadaan sehingga dua titik yang mempunyai kecenderungan meruncing menjadi tumpul kembali dan akhirnya dapat diikatkan semula serta saling berdoa untuk kebaikan semua pihak.

Oleh Nor Fazira Afifi Hassan, Najihah Rameli
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU).