Rukun Islam & tunggak-tunggak asasnya

photo3238070789974141

       Rakyat Malaysia umumnya tertakluk kepada prinsip rukun negara. Hal ini dibuktikan dengan wujudnya penerapan amalan bacaan ikrar rukun negara yang bermula sejak dari peringkat sekolah rendah lagi sehinggalah dipraktikkan di setiap organisasi di seluruh negara. Fenomena ini jelas sekali menunjukkan betapa pentingnya rukun ini disemai dalam lubuk hati masyarakat Malaysia demi memastikan kelangsungan produktiviti negara bangsa. Namun begitu, rukun negara masih belum memadai untuk melengkapkan etika seorang muslim sejati. Jadi, sebagai seorang muslim, prinsip apakah yang perlu kita pegang?

       Benarlah, rukun Islam merupakan perkara yang wajib dipegang oleh setiap individu muslim selain daripada mematuhi rukun negara yang sedia ada. Hal ini kerana rukun Islam merupakan dasar pembinaan negara Islam. Hal ini bertepatan dengan sabda nabi Muhammad SAW:

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda;

“Islam dibina di atas 5 perkara; Penyaksian bahawa tiada Tuhan (Illah) melainkan Allah dan Muhammad itu Utusan Allah, mendirikan Solat, menunaikan Zakat, mengerjakan Haji ke Baitullah dan Puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari dan Muslim)

       Apakah intipati yang terkandung dalam hadis tersebut? Mengapakah ianya penting untuk diimani? Sebenarnya, hadis ini sangat agung kerana ia merupakan salah satu daripada kaedah Islam dan menghimpunkan hukum hakamnya. Di dalamnya terdapat pengenalan kepada agama dan persoalan-persoalan yang berhubung dengannya serta himpunan rukun-rukunnya. Melalui hadis ini Baginda SAW menjelaskan bahawa dasar pembinaan Islam tersebut adalah merujuk kepada prinsip rukun Islam antaranya ialah mengucap syahadah, solat, zakat, haji dan puasa ramadan.

       Kita seringkali lancar dalam melontarkan ungkapan dua kalimah Syahadah. Namun, lontaran ungkapan ini hanya sekadar bermain di bibir semata tanpa memahami maksud disebaliknya, persis si burung kakak tua yang petah berbicara tanpa mengetahui maknanya. Ungkapan kalimah ini membawa maksud yang begitu mendalam iaitu mengakui kewujudan Allah SWT dengan keesaan-Nya serta membenarkan kenabian Muhammad SAW dan risalahnya. Rukun ini ibarat tiang asas kepada rukun-rukun yang lain. Dengannya, seseorang terkeluar dari kepompong kekufuran dan melayakkannya memasuki Syurga seperti sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menyebut La ilaaha illallah dengan penuh keikhlasan, nescaya dia akan masuk syurga.” (HR al-Bazzar)

    Intipati seterusnya hadis ini menerangkan perihal solat yang wajib dijaga dan didirikan dalam waktu yang telah ditetapkan, serta menyempurnakan syarat dan rukun, disamping menjaga adab dan sunatnya. Jadi, tidak hairanlah jika solat merupakan syiar dan boleh menjadi penanda seseorang itu adalah muslim. Dengan menjaga kesempurnaan aspek-aspek di atas, solat akan memberikan kesan positif kepada diri muslim sepertimana firman Allah SWT:

“…Dan dirikanlah Solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar…” (Al-Ankabut 29: 45)

       Persoalan berkaitan zakat juga diterangkan dalam hadis ini. Ianya merupakan ibadah harta benda yang bermaksud menyucikan. Mengeluarkan zakat ditakrifkan sebagai mengeluarkan bahagian tertentu daripada harta (yang cukup nisab dan memenuhi syarat-syarat wajib zakat) kepada fakir miskin dan mereka yang berhak menerimanya. Pemberian zakat oleh seseorang individu bukannya bermaksud membebankan si pemberi, tetapi pelaksanaannya mengandungi banyak kelebihan, sesuai dengan nisbah pengeluaran zakat yang telah ditetapkan oleh Islam. Melalui zakat terlaksana keadilan sosial, terhapusnya kemiskinan dan kepapaan, serta melahirkan kasih-sayang, kemesraan dan rasa saling hormat-menghormati di antara sesama muslimin.

              Tuntutan lain yang ditekankan dalam hadis ini adalah mengerjakan haji di baitullah. Melalui pelaksanaan haji, kita dapat lihat bahawa Islam adalah agama yang tidak membebankan umatnya kerana ibadah ini hanya diwajibkan kepada orang yang berkemampuan sahaja. Namun begitu, umat Islam perlulah berusaha untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci tersebut kerana haji itu adalah ibadah yang banyak memberi manfaat kepada individu dan masyarakat. Ia menjadi perhimpunan (muktamar) Islam yang terbesar dan peluang terbaik bagi seluruh umat Islam di seluruh pelusuk dunia bertemu. Kebiasaannya ibadah ini dilaksanakan dalam bulan-bulan haji iaitu Syawal, Zulkaedah dan sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah.

       Akhlak yang baik mencerminkan keperibadian seseorang Muslim yang unggul, dan ianya memerlukan kepada pembersihan jiwa dan roh secara mendalam dan terperinci. Oleh sebab itu, Allah SWT telah mensyariatkan puasa sebagai salah satu rukun dalam Islam. Umum mengetahui bahawa puasa adalah ibadah yang terdapat padanya pembersihan jiwa, ketinggian roh, dan kesihatan tubuh badan. Barangsiapa berpuasa kerana mematuhi perintah Allah SWT dan menuntut keredhaan-Nya, maka ia (puasa) merupakan penghapus keburukan dan menjadi sebab memasuki Syurga. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahalanya, diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq ‘alaih)

       Kesempurnaan iman seseorang Muslim akan tercapai bilamana mereka berjaya melaksanakan kesemua aspek rukun Islam ini dan mereka bukanlah Muslim jika mengingkari salah satu daripadanya. Namun, kepercayaan terhadap rukun Islam semata-mata tidak menjadikan mereka sempurna imannya sekiranya mereka cuai dalam melaksanakan salah satu daripadanya. Mereka ini tergolong dalam kelompok orang yang fasik. Adapun orang yang melaksanakan dan mengakuinya dalam kepura-puraan, maka digelar munafik. Bahkan, ada yang lebih teruk lagi iaitu mereka meninggalkan kesemuanya, dan mereka tergolong dalam golongan kafir secara qat’ie. Ingatlah, matlamat ibadah di dalam Islam bukanlah gambaran dan bentuknya yang zahir sahaja, tetapi yang dikehendaki dengan Ibadah adalah tujuan, makna dan pelaksanaannya.

Oleh Norfatini Shamimi Arifin, Nor Rasyidah Rosdi
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU)