Qudwah hasanah

qudwah
Persekitaran yang baik penting dalam memupuk dan membentuk jati diri seseorang. Sifat manusia sememangnya mudah terpengaruh dengan apa yang berada di sekelilingnya sama ada yang didengar, dilihat, dirasa dan sebagainya. Justeru, biah yang solehah penting kerana boleh menjurus kita untuk melakukan kebaikan dan boleh memberi motivasi untuk mengajak orang lain ke arah keredhaan-Nya.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu walaupun sekecil-kecil perkara hatta hentakan kaki semut kecil hitam di atas batu hitam pada likat malam yang gelita. Allah mengetahui sifat manusia yang bersifat mudah terpengaruh dan akan meniru apa yang dirasakan hebat. Maka Rasulullah SAW diutuskan untuk menjadi qudwah kepada kita. Qudwah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud apa-apa yang telah engkau ikuti dan engkau biasa dengannya. Allah SWT menghantar Rasul dalam kalangan manusia bukan dalam kalangan malaikat untuk dijadikan ikutan kepada umat manusia. Rasulullah bukanlah superhero yang kebal dan tidak lut dek ancaman apa-apa pun. Rasulullah juga cedera malah cedera parah dalam peperangan Uhud yang menjadi iktibar dan menjadi obor semangat buat umat Islam dalam mempertahankan dan memastikan rantaian Islam sampai kepada kita hari ini. Kita tidak boleh lagi menjadikan alasan untuk tidak menjadikan Rasulullah sebagai idola kita kerana setiap yang kita lalui adalah sama sebagai sunnatullah manusia malah Rasulullah menempuhi dengan jauh lebih perit lagi. Dalam firman Allah SWT:

“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang- orang yang mengharap rahmat Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingat Allah”.  (Al-Ahzab, 33:21)

Uswah hasanah (suri teladan) yang dimaksudkan pada ayat di atas bukan sekadar ikon atau contoh malah membawa maksud “sesuatu yang memberi rangsangan dan kekuatan”.

Akhlak baginda SAW tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun. Ketika sahabat bertanya kepada isteri Rasulullah yang paling tinggi sifat cemburunya dan diceritakan sebagai yang kuat mengadu kepada Rasulullah, Aisyah ra. ketika ditanya tentang akhlak baginda, Aisyah menjawab akhlak baginda adalah Al-Quran! Segala yang diceritakan dalam al-Quran adalah sifat baginda.

Setiap susuk tubuh, perkataan, budi bicara yang terdapat pada Rasulullah boleh dijadikan ikutan buat umat manusia. Rasulullah bukan sahaja dijadikan idola dan diiktiraf oleh umat Islam malah diagungkan oleh yang belum memeluk Islam. Hanya manusia yang sombong yang tidak mengiktiraf kesempurnaan keperibadian Rasulullah. Dalam firman Allah SWT:

“Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”  (al-anbiya’, 21:107)

Seluruh aspek kehidupan Rasulullah boleh dicontohi bermula daripada pengurusan diri Rasulullah, kepimpinan sebagai ketua keluarga, ketua negara, ketua panglima perang dan bermacam lagi. Pengurusan sosial baginda dengan masyarakat sama ada kawan mahupun lawan.

Apabila kita menelusuri sirah, pelbagai kisah dan akhlak nabi diceritakan yang tiada satu pun menunjukkan akhlak yang mazmumah. Semuanya mengagumkan dan terpuji. Sifat adil baginda kepada semua orang bukan terhad kepada orang yang terdekat dengannya. Kisah apabila seorang wanita Yahudi yang ingin menguji kesabaran dan akhlak baginda dengan menghadiahkan beberapa biji limau yang masam. Baginda memakannya tanpa mengeji limau tersebut mahupun memarahi wanita tersebut. Namun, sahabat pelik apabila Rasulullah menghabiskan limau tersebut tanpa mempelawa sahabat makan. Apabila wanita itu beredar, Rasulullah menceritakan tentang kekhuatiran baginda apabila memberi sahabat merasai buah tersebut, sahabat akan mengecilkan hati wanita Yahudi tersebut. Betapa hebatnya sifat terpuji junjungan besar kita Muhammad SAW dalam menjaga hati kedua-dua belah pihak.

Walaupun Rasulullah dikecam dan diancam bunuh oleh musuh Islam kerana membawa kebenaran ajaran suci yang dibawa, namun akhlak baginda tidak dicemari dan tetap diyakini oleh musuh. Musuh Islam menolak ajaran yang dibawa, namun apabila sesuatu perkara yang tidak melibatkan tauhid, baginda Rasulullah SAW tetap dipanggil untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Sungguh hairan, mereka mempercayai Rasulullah tetapi menentang ajaran yang dibawa baginda. Sesungguhnya, hidayah milik Allah dan akan bersama dengan orang yang bersungguh mencarinya.

Rasulullah sepatutnya menjadi idola dan uswatun hasanah kepada seluruh umat manusia. Didikan yang baik bermula daripada awal lagi sepatutnya diterapkan dalam masyarakat agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan budaya yang mengarut yang menjatuhkan identiti sebagai umat Islam.

Oleh Nur Atifah Zakaria, Norbaya A.Rahim
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU)