KRIM Pulau Pinang komited bebas remaja dari zina

photo347817176619657224

KEPALA BATAS, 14 April – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Pulau Pinang komited dalam mencapai misi membebaskan warga remaja dari masalah zina.

“Masalah keimanan dan ketakwaan yang rapuh merupakan faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya hubungan cinta monyet yang akhirnya menyebabkan seks luar nikah dalam kalangan pelajar sekolah,

“Berdasarkan statistik, kes buang bayi telah meningkat sementara lebih daripada 257000 kes anak luar nikah telah dilaporkan sejak tahun 2000 hingga 2008,” kata Ketua KRIM Pulau Pinang, Mohd Lutfi Itam.

Sehubungan itu, kempen Say No To Zina (SNTZ) giat dijalankan semenjak bulan Mac 2016 yang lalu di sekolah-sekolah serata Pulau Pinang.

Bermula dengan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, KRIM dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Pulau Pinang meneruskan misi menyampaikan seruan SNTZ kepada sekolah-sekolah terpilih.

Antara sekolah yang memberi sokongan positif untuk kempen SNTZ ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir yang menjemput wakil KRIM, i-Medik dan i-Guru pada 13 April hingga 14 April untuk memberi kesedaran kepada pelajar sekolah yang berusia 13-17 tahun tentang manfaat menjauhi perbuatan zina sekali gus menguatkan keimanan dan ketakwaan.

KRIM Pulau Pinang amat sensitif kepada permasalahan yang telah berlaku dan mengambil amanah untuk bekerjasama dalam memelihara dan menjaga remaja sedia ada supaya bebas dari perbuatan zina.

Oleh Nursyazana Jamaludin
Wartawan Biro KRIM Pulau Pinang