Kempen ‘Jom Baca al-Quran!’ dapat sambutan

kempen_jom_baca_al-quran_2
BERTAM, 19 April – Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Seberang Perai Utara (ISMA SPU) telah menganjurkan kempen ‘Jom Baca al-Quran’ di Taman Rekreasi Vision Park.

Program ini merupakan suatu inisiatif daripada Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan bakal dilaksanakan di setiap cawangan secara berperingkat.

Biro Dakwah ISMA SPU telah berjaya melaksanakan projek ini selepas kejayaan ISMA Kuala Lumpur (KL) yang terlebih dahulu melaksanakan program sulung tersebut di bawah kempen ‘Indahnya Islam’.

Menurut Tuan Redza Khazale, pengarah program tersebut, tujuan utama kempen ini diadakan untuk memupuk budaya membaca al-Quran di mana sahaja serta menerapkan budaya yang indah ini untuk diamalkan dalam masyarakat secara umum.

kempen_jom_baca_al-quran_1

“Persepsi masyarakat mengenai tentang al-Quran yang hanya boleh di masjid-masjid dan di rumah selepas solat perlu diubah kerana al-Quran perlu diterapkan dalam masyarakat tidak kira tempat dan waktu,” kata Redza Khazale.

Antara aktiviti utama yang diadakan di kempen tersebut adalah Klinik Bacaan Al-Fatihah yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memperbetulkan bacaan mereka sekaligus membina keyakinan semasa dibaca ketika solat.

Bacaan Al-Fatihah pengunjung telah disemak oleh Ustaz dan Ustazah ISMA SPU di sekitar lokasi terbabit.

Kempen yang bermula sekitar pukul 5.00 petang tersebut berakhir pada 6.30 petang.

Oleh Muhammad Akmal Abdul Ghani
Wartawan Biro Dakwah
ISMA Seberang Perai Utara