Kembalilah dan koreksi hubunganmu dengan al-Quran wahai Daie!

      Tak lama dulu kita pernah bersyukur kerana menjadi satu daripada jutaan yang dipilih dan memilih untuk menyertai gerabak dakwah dan tarbiah ini. Seronoknya hati kita tatkala mengenal dunia warisan baginda Rasulullah SAW. Hari-hari kita penuh bahagia. Mentari pagi sentiasa terpancar ceria. Rembulan di malam hari seakan bergerak bersama kita. Namun, kini mendung pula yang menjelma. Siang dan malam yang dilalui bersama dakwah dan tarbiah tidak lagi membahagiakan. Di sebalik keaktifan beraktivisme bersama persatuan, hati yang dulu seronok mulai bercampur rasa. Dan kita sendiri mula merasakan satu demi satu keanehan.

   Anehnya, kita yang setiap minggu ke program tarbawi mula merindu-rindukan zaman jahiliah kita dan membanding-bandingkan kehidupan kini dan sebelumnya. Dahulu, kita ada kawan-kawan yang berkongsi cerita, bergelak ketawa, bergaduh dan bermanja. Tapi kini terasa semakin jauh dan berasa keseorangan. Geng dulu tidak lagi sekepala. Geng sekarang pula tidak sehati sejiwa. Lalu hati mula penuh dengan tangis hiba sedangkan batang tubuh mula merasa lesu hilang tenaga. Liqa-liqa tarbawi yang dihadiri terasa membosankan. Liqa-liqa amal pula menyesakkan dan mulai memberi tekanan. Taujihat dan tazkirah yang dulunya indah bak cuitan bidadari syurga bertukar menjadi cubitan penjaga neraka.

Mahu tahu, apakah yang sebenarnya berlaku?

     Mustafa Masyhur di dalam bukunya, Bekalan Di Jalan Dakwah mengatakan pendakwah yang berjalan di jalan dakwah ini akan bertukar menjadi mayat hidup apabila kehabisan bekalan. Bekalan terpenting dan terbaik sekali ialah bekalan iman yang kuat dan takwa kepada Allah. Dengan bekalan yang berterusan, jiwa pendakwah tidak mengalami sebarang kekurangan dan kekeringan lalu menjadi jiwa yang hidup dan menghidupkan.

        Untuk sentiasa hidup dengan iman dan takwa yang utuh, Mustafa Masyhur menekankan al-Quran sebagai bekal yang paling terpenting yang perlu ada pada diri kita. Dengannya kita akan sentiasa hidup dalam kerehatan dan ketenangan. Hubungan kita dengan Allah pula sentiasa berdasarkan harapan positif dan kita menjadi sungguh-sungguh berkehendak dengan rahmat Allah yang paling Agung.

   Lain pula jadinya apabila al-Quran itu tidak menjadi bekalan atau ditinggalkan di tengah-tengah perjalanan. Kita bakal terjatuh ke lembah putus asa. Bahkan kata Mustafa Masyhur lagi, kita bakal menjadi kecewa daripada rahmat Allah. Ya Allah, inilah yang paling kita takuti sekali!

     Dr. Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya ‘Menuju Ketaqwaan’ turut memberi satu fokus kepada al-Quran. Bahkan saranan pertama beliau untuk Muslim yang ingin mencapai tahap Muttaqqin ialah memperbanyakkan bacaan al-Quran dengan sepenuh perhatian dan khusyuk sebagaimana yang sentiasa diamalkan oleh Rasul kita yang tercinta. Bahkan, Rasulullah SAW bukan sahaja membaca al-Quran bahkan baginda sentiasa memohon kepada Allah lewat doa-doanya agar Quran itu menjadi penawar dan pelembut bagi Baginda, menjadi sinaran kepada penglihatannya serta penawar segala kekecewaan dan dukacita Baginda SAW.

      Antara salah satu doanya seperti yang diriwayatkan oleh Nasa’i, Tarmizi dan Hakim ialah:

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hamba lelakiMu dan anak kepada hamba perempuanMu. Ubun-ubunku di tanganMu. Telah berjalan ketentuanMu di atasku dan Engkau Maha Adil dalam keputusanMu. Aku bermohon dengan semua nama bagiMu yang Engkau telah menamakan diriMu atau Engkau turunkannya di dalam kitabMu, ataupun yang Engkau ajarkannya kepada seseorang dari pada hambaMu, ataupun yang tersimpan dalam ilmu ghaibMu. Jadikanlah kepadaku al-Quran itu sebagai pelembut bagi hatiku, cahaya bagi penglihatanku, penawar bagi hatiku ketika berdukacita.

      Allah, Allah…. Rasulullah SAW yang sememangnya sudah memiliki hati yang lembut, mata yang tidak terhijab dan hati yang sentiasa berbahagia tidak leka daripada berdoa meminta kepada Allah agar mendapat nikmat syurgawi ini. Kita ini pula bagaimana ya? Adakah kita sekadar membaca al-Quran tanpa sebarang jangkaan kesan positif yang diinginkan? Mungkin kerana inilah bacaan Quran itu tidak lagi menjadi penawar kepada dukacita kita.

Kembali ke petak pertama.

     Perkara paling digeruni ialah kita meninggalkan Quran lantaran terlalu sibuk dengan cita-cita dunia kita. Langsung melupakan matlamat penciptaan kita. Kita merasa kita sudah membahagikan masa sebaiknya antara pelajaran atau kerjaya dengan tugasan dakwah dan tarbiah. Lalu setiap musibah dirasakan ujian tanda kasih Allah sedangkan hakikatnya ia adalah satu teguran daripada Tuhan. Seperti yang dinukilkan di dalam sebuah syair;

Mereka leka dengan impian lantas mempertaruhkan nasib mereka. Mereka dakwa telah harungi lautan gelora namun sebenarnya mereka belum diuji.

      Imam Syahid Hasan Al-Banna di dalam risalahnya membahagikan manusia kepada empat golongan utama iaitu:
1. Golongan yang hanya mahu makan dan berseronok.
2. Golongan cintakan keindahan dan kehidupan dunia.
3. Golongan yang mencetuskan huru-hara, suasana tidak selamat dan tidak aman.
4. Golongan pencerah yang membimbing manusia ke arah jalan yang benar, membimbing manusia ke arah jalan yang baik dan memancarkan cahaya islam ke seluruh dunia.

        Matlamat keempat itu ialah matlamat untuk kita umat Islam. Kita datang ke dunia ini bukan untuk makan dan berseronok. Bukan juga untuk tenggelam dalam lautan hawa nafsu. Apatah lagi merosakkan bumi dan makhluk-makhluk yang ada. Imam Syahid Hasan Al-Banna mengatakan yang kita ialah umat pilihan yang hidup berdasarkan matlamat keempat tersebut seperti firmanNya dalam Surah Al-Hajj, surah ke-22, ayat 77-78.

Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.

     Imam Syahid Hasan Al-Banna mengukirkan satu persoalan, sejauh mana umat Islam dengan matlamat ini? Ayuh bersama-sama kita duduk diam dan merenung kembali. Jujurlah kepada diri kita sendiri. Untuk apa sebenarnya kita hidup? Untuk apa sebenarnya kita beraktivisme? Untuk apa sebenarnya kita mengikuti usrah dan wasail tarbiah yang lain?

     InsyaAllah dengan kembali semula ke petak pertama dengan memahami kenapa kita berada di dalam dunia dakwah dan tarbiah ini, kita tidak akan sesekali tergamak untuk meninggalkan al-Quran. Kerana kita sedar bahawa al-Quran ini merupakan bekal terpenting untuk kelangsungan hidup kita. Bayangkanlah selalu negeri akhirat tempat kita kembali. Bayangkan yang al-Quran datang sebagai syafaat. Dengan ini kita akan kembali menjalinkan hubungan erat dengan al-Quran. Semoga al-Quran menjadi penawar dan pelembut hati, menjadi sinaran kepada penglihatan serta penawar segala kekecewaan dan dukacita kita yang mengaku hidup sebagai seorang Muslim.

Rujukan:
1. Dr. Nasih Abdullah Ulwan, Menuju Ketaqwaan.
2. Imam Syahid Hasan Al-Banna, Himpunan Risalah Imam Hasan Al-Banna.
3. Mustafa Masyhur, Bekalan Di Jalan Dakwah.

Oleh Nursyazana Jamaludin
Ketua Media KRIM Pulau Pinang