Ibadah warga Darul Hanan terjaga

photo3238070789974129

KEPALA BATAS, 4 April – Kehidupan warga Darul Hanan yang dilengkapi dengan pelbagai program yang dirancang seperti kelas pengajian, kuliah agama dan sebagainya dilihat sebagai persediaan untuk kehidupan dunia dan akhirat yang dituntut oleh Islam.

Sahedah Othman, 67, jelas melahirkan rasa gembiranya ketika ditemui di Kompleks Darul Hanan semasa program Bingkisan Kasih anjuran Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) dengan kerjasama ISMA SPU.

“Di sini saya dapat beribadah dengan tenang dan bersyukur kerana setiap hari kami bangun seawal 4.30pagi untuk qiamullail, solat dhuha, mengaji al-Quran dan solat secara berjemaah,” katanya.

Menurutnya, beliau reda dengan ujian dan berasa tenang apabila melakukan ibadah serta sudah biasa menjalani kehidupan tanpa anaknya kerana enggan menyusahkan anaknya yang sebelum ini menjaganya.

“Saya tidak mahu bebankan anak yang menjaga saya sebelum ini kerana mereka juga mempunyai keluarga yang perlu disara,” katanya lagi.

Seorang lagi penghuni, Khatijah Bibi, 67, merupakan antara penghuni terawal yang menetap di Darul Hanan dan beliau berasa selesa untuk mengikuti aktiviti yang disediakan setiap hari mengikut jadual harian.

“Setiap hari ada sahaja aktiviti yang disediakan dan saya berpeluang mengikuti kelas mengaji, kelas agama dan aktiviti riadah ringan,” katanya yang berasal dari Kongsi, Balik Pulau.

Dalam pada itu, Pengarah program Bingkisan Kasih, Ustazah Norzaiton Saad berkata komitmen semua Ahli Jawantankuasa (AJK) yang terlibat dalam membantu warga Darul Hanan bagi memberi khidmat bakti dan menyampaikan ilmu tentang solat sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

“Komitmen yang diberikan oleh semua AJK dalam memberikan khidmat bakti dan ilmu tentang solat akan  membantu warga Darul Hanan menunaikan solat walaupun sakit,”

“Saya juga berasa terharu dengan kedatangan warga Darul Hanan ke program Bingkisan Kasih walaupun sebahagian mereka dalam keadaan yang tidak sihat,” katanya.

Praktikal solat ketika sakit
Praktikal solat ketika sakit
Makcik Khatijah Bibi yang mesra dengan salah seorang dengan AJK Program Bingkisan Kasih
Makcik Khatijah Bibi yang mesra dengan salah seorang dengan AJK Program Bingkisan Kasih
Makcik Sahedah Othman, bersama AJK selepas program Bingkisan Kasih.
Makcik Sahedah Othman, bersama AJK selepas program Bingkisan Kasih.

Oleh Azidatul Anis Aziz
Wartawan Biro Penerangan
ISMA Seberang Perai Utara