Celoteh Dr. Gigi (Bahagian 1)

“Sakit gigilah…tak leh tidur…nak buat camner ni?”. “Gusi saya bengkak…”. “Gigi anak saya berlubang…”. “Reput dah gigi anak saya, gigi anak saya hitam-hitam…nak buat camner?”. “Gusi saya selalu berdarah …kenapa ye?”. “Semalam tak boleh tidur, berdenyut–denyut”.

Inilah kisah-kisah yang sering kita dengar. Penjagaan gigi adalah sangat penting. Tetapi masyarakat kita tidak endah dan sangat mengambil mudah. Cuba kita imbas kembali, bilakah kali terakhir kita berjumpa doktor gigi? Berapa kali kita perlu jumpa doktor gigi sepanjang hidup kita? Kenapa kita jumpa doktor gigi? Selalunya, kita akan bergegas jumpa doktor gigi apabila kita dilanda sakit gigi yang sangat teruk, bila nak buka mulut pun dah susah, bila tidur pun dah tak lena atau bila muka dah sudah senget sebelah dan bengkak. Kenapa agaknya ini semua terjadi?

Mungkin disebabkan:
1. Kita tak sedar betapa pentingnya gigi dan gusi kita.
2. Tidak ada masa nak pergi mendapatkan rawatan gigi. Maklumlah, bukan prioriti kita.
3. Kita rasa takde keperluan… Tak sakit nak buat apa jumpa doktor gigi.
4. Doktor gigi? Eiii takutnya, sakit, bunyi drill dia…. dan sebagainya……

Berbagai-bagai alasan kita. Di sini saya ingin berkongsi tentang penjagaan gigi.
Sebenarnya, jika kita menjaga gigi dan gusi kita dari awal lagi, kita tak perlu rasa takut nak jumpa doktor gigi. Sebab gigi kita bukan dalam keadaan gigi yang sihat sudah tentu rawatan yang diberikan minima dan tidak sakit. Yang sakitnya, apabila gigi kita dah teruk, baru nak jumpa doktor gigi. Gusi sudah bengkak bila kena injection. Memang lagi terasa sakitnya, injection tak jalan sebab dah ada jangkitan kuman,  bila nak cabut, hancur sebab dah reput. Hal ini menyebabkan gigi sukar untuk dicabut. Rawatan menjadi lebih kompleks dan menyebabkan kita jadi lebih takut.

Gigi dan gusi yang sihat adalah  merupakan satu aset penting kerana gigi yang cantik akan memberikan keyakinan pada kita. Kita akan rasa berkeyakinan untuk  senyum, bercakap dan berhadapan dengan orang. Sehebat mana pun kita, secantik mana pun kita, bila gigi berkarat, gigi berlubang, gigi rongak, gusi merah dan bengkak, nafas berbau akan menyebabkan hilang seri. Jadi, kita mesti sedar betapa pentingnya penjagaan gigi dari seawal usia .

Penjagaan mulut terbahagi kepada dua iaitu penjagaan gigi dan penjagaan gusi. Kita kena pastikan kita menitik beratkan kedua-dua aspek ini. Gigi kuat dan gusi sihat.

Kalau gigi sihat, tak berlubang, tak berkarat tapi gusi tidak sihat pun tidak berguna. Jika kita tidak mencuci/memberus gigi dengan baik, makanan akan tertinggal dan akan menyebabkan karang gigi. Karang gigi pula akan menjadikan gusi tidak sihat dan bengkak, apabila dibiarkan, penyakit gusi akan merebak, bakteria akan hidup senang-lenang di antara gusi dan gigi dan akan memakan tulang di sekeliling gigi, akhirnya gigi akan hilang pautan. Semakin longgar dan goyang dan akhirnya terpaksa dicabut. Kita akan kehilangan gigi jua. Kalau gusi sihat tapi gigi berlubang sana-sini pun tak leh juga. Akhirnya lubang semakin dalam hingga terkena saraf. Apabila sampai diperingkat ini, kita hanya ada dua pilihan iaitu rawatan akar (jika sesuai) atau cabutan.

Oleh Dr Ramzalinda Abd Rahman
Pegawai Pergigian,
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju,
USM, Kepala Batas