Budaya cinta ilmu, rawat jahiliah umat

usrah_wanita
BANDAR PERDA, 21 April – “Sifat ilmu seperti air, ia hanya mengalir pada tempat yang rendah iaitu kepada orang-orang yang rendah diri dan merasakan masih banyak ilmu yang perlu dipelajari bagi mengeluarkan diri dari sifat jahil,” ulas Ustazah Normah Mohamed pada permulaan siri usrah wanita di Masjid Perda baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, orang-orang Islam amat dituntut untuk meningkatkan ilmu pengetahuan agar tidak berlaku kekeliruan serta salah faham antara agenda Islam dengan agenda jahiliah.

“Umat Islam perlu bersatu padu mempertahankan aqidah Islam yang diganggu gugat oleh musuh-musuh yang amat rapat meneliti dan mengambil peluang di atas kelemahan kesepakatan antara umat Islam,” katanya.

Di dalam surah Al-Fatir ayat 28, Allah SWT menyatakan bahawa orang yang takut pada Allah adalah orang-orang yang berilmu. Oleh itu, tiada jalan singkat untuk menjadi hamba yang takut dan harap kepada Allah melainkan dengan iman dan ilmu yang benar.

“Kesan daripada kefahaman yang jelas tentang Islam dan neraca iman dalam diri seseorang Islam mampu melahirkan umat yang bersatu menentang kekufuran dan tidak menghalang perkara-perkara kebaikan,” kata beliau lagi.

Tambah beliau lagi, umat Islam seharusnya bersatu dan bersegera dalam melaksanakan amalan kebaikan. Terdapat kisah seorang abid yang hidup beramal selama 500 tahun.

“Allah menyuruh malaikat memasukkan dia ke syurga dengan rahmat-Nya. Tetapi dia ingin memasuki syurga dengan amalannya dan apabila dihitung hanya mata sahaja yang layak ke syurga. Oleh yang demikian, jangan kita memperlekeh setiap kebaikan bahkan perlu wujud sikap tolong-menolong dalam melaksanakannya,” katanya.

Agama Islam mempunyai dua bahagian iaitu menyuruh kepada kebaikan dan juga mencegah dari perbuatan mungkar.

“Lakukan kebaikan semampu mungkin tetapi larangan Allah wajib untuk ditinggalkan. Segala nikmat yang diberikan Allah pasti akan dipertanggungjawabkan seperti nikmat pancaindera,

“Jadi, berhati-hatilah agar pandangan tidak melihat kepada keaiban manusia lain dan melihatnya dengan pandangan yang menghina serta menjauhkan diri dari mendengar segala umpatan atau ucapan yang keji dan sia-sia,” katanya.

Di akhir slotnya, Ustazah menyeru kaum wanita untuk mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan agar mereka dapat menghadapi ancaman seperti serangan pemikiran dan tidak berlaku salah faham tentang agama Islam seterusnya menjadikan umat Islam bersatu padu kerana Islam dibina dengan cara berjemaah dan tidak hanya dikhususkan terhadap Nabi Muhammad SAW sahaja.

Kekuatan hanya dapat diperoleh daripada Allah SWT dan terbina di atas penyatuan umat Islam dalam beramal secara berjemaah merupakan kunci kepada teguhnya kedudukan Islam.

Oleh Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita
ISMA Seberang Perai Utara