Ustazah Dr Norsaleha santuni aktivis wanita SPU

photo3238070789974094

BAYAN LEPAS, 1 Mac – Satu program Untaian Ramah Mesra bersama Ketua Wanita Ikatan Muslimin Wanita (ISMA) Pusat, Ustazah Dr. Norsaleha Mohd Salleh telah berlangsung pada ahad lepas dengan diiringi Ketua Wanita ISMA Seberang Prai Utara(SPU), Ustazah Norhayati Abd Wahab.

Program sembang santai ini mengumpulkan golongan mahasiswi dan wanita ISMA sekitar Pulau Pinang bagi mengeratkan ukhuwah antara ahli-ahli wanita dan memupuk budaya saling menasihati ke arah kehidupan yang lebih beragenda.

“Wanita itu bukan sahaja berilmu tetapi perlu memiliki visi dan misi yang jelas dalam hidup sama ada sebagai pelajar, pekerja, mahupun isteri supaya dapat melahirkan tokoh wanita yang hebat dan menjadi rujukan masyarakat Islam di luar sana” ujar Ustazah Dr. Norsaleha Mohd Salleh.

Beliau juga menegaskan bahawa pembentukan individu beragenda bermula dengan tarbiah dzatiyah yang hebat dari dalam diri serta dorongan persekitaran yang meletakkan kepentingan ke arah pembentukan diri, sikap dan akhlak berpandukan Al-Quran dan sunnah rasulullah.

“Walau sibuk mana pun, jangan kita mengabaikan tarbiah diri kerana ia tunjang kekuatan wanita muslimah dalam mengharungi cabaran dunia kini,” katanya.

Di akhir ucapannya beliau berpesan kepada aktivis wanita SPU supaya merebut menjadi wanita yang hebat dengan meletakkan diri untuk terus berada di atas jalan tarbiah dan memastikan diri menghadiri latihan-latihan berobjektif yang disediakan seperti riadah, seminar dan aktiviti fizikal lain.

Oleh Siti Nurfarhana Ahmad Puat dan Ariffah Binti Said’din
Wartawan ISMA SPU