Tempatkan dia di syurga (Bahagian 2)

tempatkan_dia_1

Disebabkan tidak banyak masa yang dapat diluangkan bersama di tingkatan empat, Nailah mencalonkan aku menjadi ahli Badan Dakwah supaya kami dapat meluangkan masa bersama.
“Syita’, ana calonkan enti sebagai ahli Badan Dakwah baru dekat mualimah kelmarin,” ujar Nailah.
“Ya Allah, Nailah. Ana mana layak, banyak kekurangan lagi ni,” aku memprotes. Aku bukanlah orang yang ada ilmu tinggi. Bukan juga dari keluarga yang berlatar belakangkan agama macam dia. Ibu bapa nailah sendiri insan yang kuat berdakwah di luar sana.
Nailah tertawa sebelum memulakan bicara.
“Mana ada orang yang syumul dekat dunia ni, Syita’. Melainkan kekasih kita Rasulullah SAW. Pernah dengar tak kata-kata Imam Hassan Al Basri ni? Sesungguhnya jika aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan,”
Dengan pujukan dia jugalah aku mula mengenal erti dakwah.

Ketika kami sedang bermusyawarah di bilik gerakan mengenai program dakwah yang diamanahkan oleh para guru pembimbing, Nailah bangun untuk memberikan cadangan selepas pelbagai idea yang ditolak.
“Ana cadangkan kita adakan program dakwah di luar kali ini. Kebetulan ayah ana sedang mencari sukarelawan belia untuk membantu program Street Dakwah anjuran pertubuhan Islam. Program ini akan berjalan  dua minggu lagi  di sekitar bandar dan kompleks beli belah. Apa yang hendak kita bawakan ialah cara pemakaian Islam yang sebenar sama ada kepada umat Islam ataupun tidak. Kita akan memberi peluang kepada mereka untuk merasai bertudung labuh, berserban dan sebagainya. Street Dakwah ini juga akan menerangkan tentang agama Islam, Allah yang Esa dan Nabi Muhammad SAW.”
Sudah menjadi kebiasaan dalam musyawarah kami untuk saling bertukar pendapat tetapi dengan cara yang hikmah, maka seorang muslimin berkata, “Tapi pada pendapat ana program begitu amat sukar bagi remaja seusia kita ni.”
“Nak tegakkan Islam memang susah. Kita tak mampu tegakkan sorang-sorang. Nak tegakkan tiang gol pun perlukan ramai orang. Inikan agama Islam. Dakwah itu memang pahit kerana syurga itu manis. Rasulullah sendiri pun telah diuji ketika baginda ingin menyebarkan ajaran Islam. Oleh itulah, kita perlukan organisasi untuk sebarkan Islam. Kita tak mampu untuk tegakkan sorang-sorang. Dan yang sepatutnya yang menerajui organisasi dan program dakwah ialah para pemuda. Sultan Muhamad Al-Fateh berjaya menakluk Kota Konstantinopel pada usia 21 tahun. Jadi ana rasa bagus sekiranya kita dapat ambil pengalaman ini sebagai persediaan sebelum kita keluar di sekolah ini sebagai belia gagasan Islam untuk meneruskan risalah Islam di luar sana nanti,” balas Nailah dengan hikmahnya.
Setelah mendapat kata sepakat, kami semua bersetuju dengan idea Nailah. Setelah tamat program yang dirancang tersebut Nailah mengukapkan perasaan syukur dan gembiranya dapat menyertai program sebegini.
“Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ana dah berusaha jika disoal apa yang telah ana lakukan untuk ummah”.
Malam itu kami berehat di bilik masing-masing setelah penat berprogram. Tiba-tiba dia mengadu sakit kepala. Kawan-kawan sebilik pun risau dengan keadaannya dan melaporkan kepada guru. Aku menunggu di ruang kecemasan bersama keluarganya. Aku cuba menyedapkan hatiku mungkin Nailah tidak cukup rehat kerana sibuk menguruskan program ini. Setelah 45 minit menunggu, seorang doktor keluar. Doktor tersebut memaklumkan bahawa Nailah tidak dapat diselamatkan. Seakan tidak dapat menerima pemergiannya itu, aku terduduk mendengar berita itu. Namun, aku hairan dengan sikap keluarganya yang seakan-akan telah bersedia menerima berita tersebut. Ibunya datang menenangkan aku.
“Mak cik  mintak maaf, Syita’. Nailah sebenarnya menghidap barah otak tahap empat. Tiada apa yang kami boleh lakukan. Nailah juga yang mintak kami sekeluarga rahsiakan perkara ni”
Semakin berjurai air mataku mendengarnya. Tidak disangka insan yang mengalami ujian sebesar itu masih kuat untuk terus berdakwah. Perjuangan inilah yang membuat kami semua bersemangat untuk teruskan dakwah.
Teringat aku dengan pesanan Nailah ketika aku bersedih dengan sikap segelintir adik usrahku yang tidak menunjukkan minat di dalam usrah.
“Sudah menjadi sunnah berdakwah, dicemuh manusia. Namun awalnya saja payah. Akhirnya InsyaAllah, penuh dengan rahmat-Nya Yang Maha Esa. Jika ada 10 orang yang membenci usahamu, ada lagi 1000 orang yang lain sudi menerima. Namun, andai seluruh dunia menghinamu, ingatlah Allah sentiasa bersamamu.”

* * *

Diseka air mata ku yang berjurai dengan lengan baju. Sungguh pertemuanku dengan Nailah mempunyai hikmah yang tersendiri dan perpisahanku dengan dia juga aku yakin telah diaturkan Allah juga mempunyai hikmah. Aku sudahi qiam itu dengan memohon pada-Nya.
“Ya Allah, sungguh aku yakini semua berlaku atas izin-Mu dan aku yakin Engkau aturkan sebaiknya buatku.
Ya Allah, kau tempatkanlah sahabatku ini bersama orang yang beriman. Kau permudahkanlah urusan sahabatku di alam sana. Ketemukalah kami di syurga-Mu kelak.
Ya Allah yang maha mendengar rintihan hambaMu ni, kabulkanlah permintaanku ini. Permudahkanlah urusan dakwahku, sahabat-sahabatku dan umat Islam, Ya Allah.
Ya Allah yang membolak-balikkan hati ini, Kau tetapkanlah hati kami ini di jalan yang benar. Bimbinglah kami, bantulah kami pemuda dan pejuang Islam untuk berjuang di jalanMu ini.
Ya Allah, perkenanlah permintaanku ini.
Amin,Ya Rabbal ‘Aalamiin.”

Oleh Hakimah Mohd Hamzah
Karya kreatif Kem Lepasan Sekolah (KLS) 2016