Tempatkan dia di syurga (Bahagian 1)

tempatkan_dia_1

Air mataku mengalir laju. Suasana asrama pada waktu ini semestinya sunyi sepi. Mana tidaknya, jam baru menunjukkan empat pagi. Aku mengadu kepada Allah al-Rahman di hamparan sejadahku. Aku benar-benar merindui sahabat ini meskipun dia telah pergi menghadap Ilahi setahun yang lalu. Mana mungkin aku dan kami, Badan Dakwah di sekolah ini melupakan beliau. Beliau yang berakhlak baik dan petah berbicara telah menyedarkan kami semua. Juga telah membuatkan aku berubah menjadi baik sehingga aku dapat melakukan qiamulail pada hari ini. Disebabkan itu jugalah, aku menceritakan kisah Nailah kepada adik-adik usrah disebabkan namanya yang sama dengan srikandi Islam, Nai’lah Al-Farafishah, isteri kepada Khalifah Uthman Bin Affan yang menjadi tajuk usrah kami malam tadi.

* * *

Pertemuan aku dan dia bermula apabila kami menyambungkan pelajaran di  sekolah agama pada tahun 2011. Disebabkan aku dan dia tidak mempunyai kenalan dari sekolah rendah di situ, kami berdua bersahabat. Persahabatan aku dan dia bertambah akrab kerana kami merupakan rakan sekelas sehingga tingkatan tiga. Bermula di tingkatan empat kami berada di kelas yang lain dek kerana perbezaan bidang pelajaran. Aku menyambung dalam bidang akaun manakala dia menyambung dalam bidang perubatan. Katanya ingin menaburkan bakti menjadi doktor di bumi Gaza. Semangatnya dalam membina dan membentuk ummah memang tinggi. Oleh sebab itu, dia telah terpilih menjadi ahli Badan Dakwah sedari di tingkatan dua.

Pernah sewaktu di tingkatan tiga, kami melayari internet di Makmal Multimedia pada waktu rehat.
“Innalillahiwainnailaihirajiun,” lafaz yang sering diucapkan ketika menerima musibah itu keluar dari mulutnya.
“Kenapa Nailah? Ada apa yang berlaku?, ”Dengan perasaan yang risau sesuatu yang buruk berlaku, aku bertanya.
Kemudian dia menunjukkan kepada aku sebuah blog yang menerangkan keadaan umat kini. Perempuan dan lelaki tidak menjaga ikhtilat dan batas aurat. Sepanjang perjalanan kami ke kelas dia tidak berhenti menghuraikan keadaan umat kini.
“Umat kini sedang nazak,” ujar Nailah.
Seakan tidak memahami “nazak” yang dimaksudkan aku bertanya kembali.
“Yalah. Umat kini sedang tenat. Macam-macam masalah yang berlaku sekarang ni. Tapi lagi yang menyedihkan ramai sahaja pemuda pemudi bertudung labuh, berniqab, bersongkok dan berserban di alam realiti. Mereka menjaga batas segalanya. Namun, di alam maya tersungkur juga. Berchatting tidak kira ajnabi. Yang Islam hanya di i/c pun banyak, berpakaian tidak patuh syariah. Macam mana kita nak bangkitkan kembali perjuangan Islam zaman Rasulullah dahulu.”

Aku tergamam dan kagum dengan semangatnya untuk menyebarkan Islam. Dia kecewa melihat nasib pemuda Islam kini. Aku merenung kembali bait-bait kata As-syahid Imam Hasan Al-Banna. “Sesungguhnya aku amat merindui seorang pemuda dan pemudi yang tidak tidur lena kerana memikirkan masalah ummah”. Sungguh besar jiwa pejuang dalam diri Nailah. Tidak seperti aku yang hanya menumpukan perhatian terhadap Penilaian Menengah Rendah (PMR). Tidak seperti pemuda lain semuda ini yang kecewa ditinggalkan kekasih.

Oleh Hakimah Mohd Hamzah
Karya kreatif Kem Lepasan Sekolah (KLS) 2016