Semai fikiran positif

BERTAM, 30 Mac – Pemikiran yang positif sebenarnya perlu disemai dalam diri anak-anak supaya mereka berfikiran lebih optimis, terbuka dan membantu meningkatkan keyakinan diri.

“Jangan biarkan anak-anak berkhayal mengikut neracanya. Kita yang perlu membentuk cara fikir yang betul untuk mereka,” kata Yang Di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Sungai Petani dan juga Perunding Kewangan Islam, Ustaz Annuar Salleh.

Seminar I-Keluarga 1.0 yang bertemakan Benih Disemai, Keimanan Dituai (Fiqh Keibubapaan) anjuran Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA Seberang Perai Utara (SPU) tersebut turut menampilkan Ustazah Wan Nor Adibah Wan Ahmad, seorang guru dan Pengerusi BKM ISMA Sungai Petani dalam Slot 1: Pendidikan Anak-anak 0-6 tahun serta Slot 2: Pendidikan Anak-anak 7-14 tahun yang dikendalikan oleh Ustaz Annuar Salleh.

Sementara itu, Ustazah Wan Nor Adibah turut menyatakan bahawa ibu bapa yang meletakkan sesuatu harapan perlu menunjukkan tauladan yang baik kepada anak-anak.

“Apa harapan kita kepada anak, kita yang perlu praktikkan terlebih dahulu,” kata Ustazah Wan Nor Adibah.

Seramai 65 orang peserta telah menyertai Seminar yang diadakan di Dewan Seminar Masjid Abdullah Fahim.

Menurut peserta, Erma Norhidayah berkata panel telah menyampaikan ilmu yang cukup padat dan menguasai bidang kepakaran mereka.

“Cara penyampaian mereka tidak membosankan dan membuatkan saya suka untuk mendengar. Saya memang berminat untuk menghadiri seminar yang menekankan kepada aspek rohaniah dan kekeluargaan ini kerana saya mahu menjadi umat, ibu, anak, dan pekerja yang lebih baik dari hari ke hari,” katanya.

“Perkongsian yang disampaikan dalam kedua-dua slot sangat bagus. Saya dapat pendedahan baru mengenai pentingnya pendidikan anak dari umur 0-6 tahun dan persediaan ilmu untuk anak semasa mumayyiz dan sebelum akil baligh,” kata Mohd Fekri Mohd Jamil.

Oleh Nor Ashida Ahmad
Wartawan Biro Keluarga dan Masyarakat
ISMA Seberang Perai Utara