Perbuatan ghibah mampu gugat hubungan manusia

photo3238070789974115

BANDAR BARU PERDA, 22 Mac – “Ghibah bermaksud menceritakan keburukan orang lain tanpa tujuan yang dibenarkan oleh syarak. Di dalam surah al-hujurat, Allah SWT mengumpamakan orang-orang yang melakukan ghibah terhadap saudara Islam adalah seperti orang yang memakan daging saudaranya yang telah mati”, kata Ustazah Norzaiton Saad ketika ditemui di Usrah Wanita anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU).

Tidak dinafikan kehebatan teknologi maklumat kini dengan pelbagai aplikasi media sosial yang canggih seperti Facebook, Whatsapp, Instagram, Telegram dan sebagainya sememangnya banyak mempengaruhi fenomena viral dalam kalangan masyarakat.

“Dengan kemajuan teknologi perhubungan kini, umat Islam khususnya golongan wanita perlu berhati-hati agar kita tidak terlibat dalam ghibah atau gosip yang dicetuskan kerana mampu membuka aib saudara sendiri”, pesan Ustazah Norzaiton Saad.

Daripada Abu Said al Khudri r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman” (Hadis sahih riwayat Muslim).

Beliau menambah, berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa semua masyarakat berkewajipan untuk mencegah kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat melalui tiga cara iaitu menggunakan kuasa dan memberi nasihat serta bimbingan agar meninggalkan perbuatan mungkar. Jika tidak mampu atau khawatir berlaku fitnah yang lebih besar, wajib untuk kita mengingkari kemungkaran tersebut di dalam hati dan memisahkan diri dari kelompok tersebut.

Tegas Ustazah Norzaiton lagi, perbuatan ghibah akan menyebabkan terputusnya silaturrahim, mencetuskan permusuhan, menumbuhkan rangsangan yang tidak baik serta melahirkan sikap sombong dalam kelompok hidup masyarakat.

Dalam Islam, ghibah adalah dibenarkan untuk menuntut hak seperti hak penceraian apabila isteri yang dizalimi oleh suami, mengadu perbuatan zalim kepada pihak berkuasa, dan untuk mencegah kemungkaran yang berlaku seperti minum arak atau berjudi.

Beliau juga menambah bahawa ghibah turut dibenarkan apabila seseorang ingin mendapatkan fatwa di atas perbuatan zalim yang berlaku daripada pihak berkuasa seperti mufti yang mengingatkan perbuatan zalim untuk dijadikan nasihat kepada orang Islam serta apabila menjadi orang tengah untuk sesuatu urusan yang memerlukan kejelasan perkara baik atau buruk seperti menjodohkan pasangan.

Kesimpulannya, umat Islam perlu meneliti ucapan dan perbuatan bagi mencegah diri daripada tergolong dalam kalangan manusia yang menzalimi saudara sendiri atau golongan yang dizalimi. Namun begitu, kita perlu memahami bahawa ghibah diperlukan untuk tujuan yang dibenarkan oleh syarak.

Oleh Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita
ISMA Seberang Perai Utara