Pemimpin yang meletakkan dunia hanya di tangan

Sejarah telah membuktikan Islam sebagai satu cara hidup yang mengubah manusia menjadi manusia yang luar biasa. Kisah-kisah sahabat yang sarat dengan pengajaran mampu menjadi seorang manusia dari zero kepada hero. Ayuh kita telusuri kisah seorang sahabat hebat yang bernama Said bin Amir.

Said bin Amir adalah antara pemuda yang menyaksikan pembunuhan Khubaib bin Adi yang yang ditangkap dalam peristiwa ar-Raji’. Khubaib diseksa dengan anggota badannya dipotong sedikit demi sedikit sambil orang-orang musyrik tawar-menawar dengan Khubaib:

“Adakah kamu mahu agar tempat kamu digantikan dengan Muhammad dan kamu dibebaskan.”

Khubaib dalam keadaan parah dan berlumuran darah berkata:

“ Demi Allah! Aku tidak rela sekiranya aku dan keluargaku selamat sedangkan Muhammad dalam keadaan menderita walaupun tertusuk duri”

Dengan keteguhan iman itulah Khubaib bin Adi dibunuh di depan mata Said bin Amir. Ketakjuban terhadap sayangnya Khubaib terhadap nabi SAW menyebabkan cahaya iman mula menyinar. Dia semakin yakin dengan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Muhammad SAW sehingga sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan Muhammad. Peristiwa ini telah membawa kepada keislaman Said bin Amir dan bermulalah episod perjalanan hidupnya sebagai muslim. Said adalah antara sahabat yang rapat dengan Nabi SAW dan turut menyertai beberapa siri peperangan ketika dan selepas kewafatan Nabi SAW. Pentarbiyahan secara langsung daripada Nabi SAW menjadikan Said individu yang zuhud serta mencintai akhirat dengan perasaan mendalam.

Pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab, Said bin Amir adalah sahabat baik serta penasihat kepada khalifah. Beliau banyak berkongsi dengan Umar berkaitan dengan kepentingan pemimpin menjaga hubungan dengan Allah, tata urus tadbir negara yang tersusun dan sistematik serta menjadikan urusan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap keputusan dan tindakan.

Atas potensi yang ada pada Said bin Amir ini membuatkan Umar melantik beliau menjadi Gabenor di Hims, Syam. Menjadi kebiasaan bagi Khalifah untuk menerima rombongan deligasi dari semua jajahan takluk Islam termasuklah dari Hims untuk melaporkan perkembangan di sana. Deligasi ini mengemukakan senarai nama rakyat yang miskin untuk dibantu. Alangkah terkejut Umar apabila melihat Gabenor Hims yakni Said bin Amir tersenarai antara orang miskin. Umar amat bersedih dan mengarahkan agar diberikan 1000 dinar sebagai memenuhi keperluan harian.

Apabila Said Bin Amir menerima bantuan kewangan tersebut, dia sangat terkejut pemberian itu. Dia merasai seolah-olah kenikmatan dunia telah masuk dalam kehidupannya yang akan merosakkan kehidupan akhirat. Setelah itu dia mendermakan seluruh hartanya kepada fakir miskin.

Juga turut menjadi kebiasaan bagi khalifah Umar Al-Khattab untuk pergi ke Hims bagi melakukan pemantauan terhadap gabenornya. Penduduk Hims telah memberikan beberapa komen yang negatif tentang Said bin Amir. Lalu Umar memanggil Said bin Amir serta rakyat bawahan untuk mendengar segala pertuduhan dan jawapan yang rakyat dan gabenor sendiri.

Aduan 1: “Said tidak keluar berjumpa kami sehinggalah matahari sudah tinggi.”
Said: “Aku tiada orang gaji. Maka aku terpaksa membantui isteriku menguruskan urusan rumah sebelum aku keluar berjumpa dengan masyarakat.

Aduan 2: “Said Bin Amir tidak mahu berjumpa dengan rakyat apabila tiba malam hari”.
Said: “Aku telah luangkan masa siangku hari untuk manusia, jadi biarlah malam aku luangkan masa dengan Allah pula”.

Aduan 3: “Dalam sebulan terdapat sehari dia tidak mahu keluar berjumpa rakyat”.
Said: “Aku tiada baju lebih. Jadi sebulan sekali aku basuh dan biarkan kering menyebabkan petang baru boleh keluar”.

Aduan 4: “Dia selalu pengsan dalam majlisnya menyebabkan majlis selalu terganggu.
Said: “Ketahuilah pada ketika itu aku teringatkan Khubaib bin Adi yang sangat sayangkan Nabi hingga sanggup korbankan nyawanya dan dia tidak berupaya membantu Khubaib”.

Umar Al-Khattab menitiskan air mata mendengar penjelasan Said yang jelas mempamerkan kezuhudan, kecintaan yang tinggi kepada Allah dan perancangan yang teliti dalam berkhidmat kepada rakyat.

Pengajaran kisah Said bin Amir

1.Pemimpin semestinya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Allah dengan sentiasa menjadikan Allah serta syariat-Nya sebagai panduan dalam pentadbiran. Selain itu, manusia perlu mengingati Allah kerana segala urusan dunia dan akhirat berada dalam perancangan-Nya.

2.Meletakkan dunia di tangan bukan dihati. Jika pimpinan terpesona dengan kilauan dunia pasti menyebabkan tumpuan tidak terarah sepenuhnya kepada maslahah ummah. Perasaan terhadap ummah diketepikan hingga kepentingan mereka tidak lagi menjadi agenda dalam urusan pentadbiran. Kecuaian terhadap mereka adalah satu pengkhianatan terhadap Allah dan rasul serta orang beriman.

3.Pemuda yang tersentuh hatinya dengan kefahaman serta kesedaran akan menatijahkan keikhlasan dalam setiap pelakuan, mengapikan semangat serta keinginan dan seterusnya membuahkan amal yang bersungguh-sungguh dan berpanjangan. Justeru inilah yang menjadi impian Imam Hassan Al Banna agar pemuda Islam disalurkan potensi diri terhadap dakwah Islamiyah.

4.Kreatif dalam menguruskan urusan peribadi dan maslahat ummah/ orang bawahan. Perlu ada pembahagian yang baik bagi mengelakkan konflik dalam menguruskan amanah yang dipikul.

5.Pemantauan daripada pimpinan tertinggi terhadap pimpinan pertengahan bagi memastikan perancangan serta agenda ummah menuju ke matlamat yang disasarkan. Adalah penting pimpinan turun padang mendengar permasalahan sebenar supaya tindakan pembaikan benar-benar berkesan sebagaimana Umar turun ke Hims dan berjumpa terus dengan rakyat bawahan.

Semoga Kisah Said Bin Amir menjadi teladan buat kita sebagai penyeru kepada kebaikan.

Disediakan oleh Mohd Izwan Ishak