Intipati hadis dua -Islam, Iman dan Ihsan

photo3238070789974113

Dari Umar r.a juga dia berkata : Ketika kami duduk di sisi Rasulullah SAW suatu hari tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang mengenakan baju yang sangat putih dan berambut sangat hitam, tidak nampak padanya bekas-bekas perjalanan jauh dan tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenalnya. Hingga kemudian dia duduk di hadapan Nabi lalu menempelkan kedua lututnya kepada lututnya (Rasulullah SAW) seraya berkata : “Ya Muhammad, beritahukan aku tentang Islam?”, maka bersabdalah Rasulullah SAW: “Islam adalah engkau bersaksi bahawa tidak ada Illah (Tuhan yang disembah) selain Allah, dan bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji jika mampu”, kemudian bertanya lagi. “Beritahukan aku tentang Islam”. Lalu beliau bersabda: “Engkau beriman pada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, dan hari akhir dan engkau beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk“, kemudian dia berkata : “anda benar”. Kemudian dia berkata lagi:”Beritahukan aku tentang Ihsan.” Lalu beliau bersabda : Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya,jika engkau tidak melihat-Nya maka Dia melihat engkau”. Kemudian dia berkata:” Beritahukan aku tentang hari kiamat(kapan kejadiannya)”. Beliau bersabda : “yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya”. Dia berkata: “Beritahukan aku tentang tanda-tandanya”, beliau bersabda: “Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat seorang bertelanjang kaki dan dada, miskin dan pengembala domba, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunan”, kemudian orang itu berlalu dan aku berdiam sebentar. Kemudian beliau (Rasulullah bertanya) :” Tahukah engkau siapa yang bertanya?”. Aku berkata:” Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Beliau bersabda:” Dia adalah Jibril yang kepada kalian (bermaksud) mengajarkan agama kalian”-Hadis Riwayat Muslim

Sebenarnya, semasa kita dibangku sekolah lagi kita didedahkan dengan hadis ini tetapi menerusi isi-isi penting sahaja. Tidak percaya? Cuba kita ingat dan baca rukun Iman dan rukun Islam. Rukun Islam lima perkara yang membawa maksud tunduk dan patuh kepada Allah SWT dengan melakukan suruhan-Nya yakni mengucap dua kali syahadah, mendirikan solat 5 waktu sehari, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan. Sementara Rukun Iman 6 perkara yakni percaya pada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari kiamat, dan Qada dan Qadar. Percaya dan yakin kepada Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya dalam iktikad dalam amalan. Betulkan kita sudah didedahkan dengan hadis ini dari kecil? Cuma, kita tidak diceritakan mengenai kronologi hadis ini, bagaimana malaikat Jibril datang kepada Rasulullah menanyakan akan maksud Islam, Iman, Ihsan. Tidak ketinggalan soalan mengenai hari kiamat dan tanda-tandanya.

Ihsan pula membawa makna melakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya dan bersungguh-sungguh. Apabila kita beribadah kepada Allah, seakan-akan kita dapat melihat-Nya, jika tidak melihat-Nya maka Dia melihat kita. Contoh lain adalah amalan sedekah, jika kita sedekah untuk buatkan manusia hormat pada kita, maka amalan yang kita lakukan hanya sia-sia. Sebenarnya, apa yang kita nak dapat adalah keredaan Allah, jadi adalah lebih baik bila bersedekah niat kita kerana Allah Taala.

Kandungan hadis ini juga ada turut diselitkan mengenai etika bertanya dan cara menjawab sesuatu soalan. Sebelum bertanya, kita haruslah pastikan bahawa tuan yang ingin ditanya itu fasih mengenai bidang tersebut supaya kita berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Bagi tuan yang ditanya pula, jika tidak mengetahui jawapan, lebih baik mengakui supaya tidak menimbulkan sebarang fitnah. Dalam hadis ini, malaikat Jibril bertanya kepada Rasulullah kerana untuk mengajarkan agama fitrah pada para sahabat.

Turut terselit juga gaya penampilan dan pakaian Malaikat Jibril yang mengenakan baju yang sangat putih, berambut hitam dan tidak menampakkan tanda-tanda dari perjalanan yang jauh. Cuba anda bayangkan, jika seseorang datang kepada anda dengan berpakaian kotor, busuk dan rambut yang tidak terurus untuk menanyakan soalan, adakah anda akan biarkan dia mendekatkan dirinya pada anda? Atau, seseorang datang pada anda dalam keadaan berpeluh-peluh dan termengah-mengah, pasti anda akan rasa terkejut dan terkesima. Melalui keadaan ini, gaya penampilan dan pakaian amatlah penting selagi ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Kedatangan hari kiamat hanya diketahui oleh Allah SWT dan antara tanda-tanda hari kiamat adalah apabila seorang hamba melahirkan tuannya yang bermaksud seorang anak menjadikan ibunya sebagai hambanya. Nauzubillahiminzalik. Dalam surah Al-Ma’arij, Allah sudah menggambarkan suasana hari kiamat iaitu apabila gunung ganang akan berterbangan ibarat kapas yang ditiup angin dan setiap orang pada waktu itu hanya akan memikirkan diri sendiri Jadi, adakah kita beriman dengan hari kiamat? Fikir-fikirkanlah.

Kesimpulannya, Islam dan Iman itu sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain. Betulkah? Mari kita ibaratkan Islam dan Iman itu sebagai jasad dan roh. Jika Islam ada Iman pula tiada, jasad ada tapi roh tiada, maka diberi nama mayatlah kita. Dan jika Islam tiada Iman ada, ibarat roh tanpa jasad, maka diberi nama hantulah kita. Maka mustahillah hanya salah satu dari Islam dan Iman itu wujud.

Oleh Siti Mashitah Abd Rahman dan Nur Amalina Ahmad Razali
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU).