Budaya tanasuh, akhlak mukmin sejati

artikel_tanasuh

Tidaklah sama menjaga tepi kain orang dengan saling menasihati sekiranya seseorang itu benar-benar memahami perbezaan antara dua perbuatan tersebut. Namun begitu, rata-rata masyarakat masa kini lebih gemar berdiam diri daripada memberi teguran kerana sekiranya mereka mengutarakan nasihat, mereka akan dilabel sebagai penyibuk. Umumnya, masyarakat Malaysia kaya dengan nilai-nilai murni seperti tolong-menolong, tolak ansur, dan prihatin. Maka, tidak hairanlah jika masyarakat di Malaysia cenderung untuk saling menasihati, lebih-lebih lagi dalam kalangan umat Islam. Sesuai dengan fitrah manusia yang sukakan kebaikan dan memiliki naluri beragama. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 30 yang bermaksud; Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah di atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Agama lurus yang dimaksudkan adalah Islam dan Islam itu sendiri merupakan nasihat. Persoalannya, sejauh manakah masyarakat di Malaysia, khususnya umat Islam mempraktikkan budaya ini?

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, menasihati bermaksud memberi nasihat atau tunjuk ajar. Menasihati juga dikenali sebagai tanasuh yang berasal dari perkataan Arab. Suatu ketika dahulu, budaya tanasuh menjadi adat kebiasaan dalam kalangan masyarakat. Budaya ini dianggap sebagai medium yang efektif untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara mereka. Sikap tanasuh seringkali dapat dilihat dalam kalangan masyarakat yang hidup berjiran. Sebagai contoh, masyarakat dahulu tidak lokek untuk saling menasihati antara satu sama lain apabila timbul sesuatu permasalahan. Bahkan, pihak yang ditegur menyambut teguran yang diberikan dengan hati yang terbuka.

“Zaman dah maju, dunia pun dah berubah”, sikap tanasuh juga dilihat semakin luntur dalam jiwa masyarakat, ekoran ditelan dek zaman. Dalam kesibukan mengejar kemewahan dunia, manusia tidak menyedari bahawa nilai-nilai murni yang dahulu mereka miliki, terhakis sedikit demi sedikit. Masyarakat kini tertumpu kepada kehidupan peribadi masing-masing tanpa menghiraukan masyarakat sekeliling. Mereka mementingkan diri sendiri sehingga nilai murni seperti saling menasihati ini diabaikan sama sekali dalam kehidupan. Bukan sahaja nilai ini kurang diamalkan, bahkan mereka juga kurang bertegur sapa. Buktinya, penduduk di kawasan kejiranan kurang mengenali sesama mereka meskipun tinggal hanya bersebelahan. Sungguhpun begitu, masih ada lagi segelintir masyarakat yang prihatin dan cakna dengan masalah yang menimpa jiran mereka, namun, mereka dikatakan suka menyibuk hal peribadi orang. Bukan itu sahaja, sesetengah pihak yang ditegur kadang kala mengambil teguran sekadar acuh tidak acuh dan pemberi nasihat seolah-olah diibaratkan tidak lebih seperti mencurahkan air ke daun keladi.

Allah telah mengamanahkan umat Islam sebagai khalifah, membangun tamadun manusia dan memakmurkan bumi. Justeru itu, umat Islam haruslah memikul tanggungjawab ini sebaik mungkin dengan menjadikan diri mereka sebagai da’ie. Menjalankan tugas-tugas seorang da’ie bukanlah suatu pekerjaan yang mudah kerana ianya mengandungi seribu macam cabaran dan dugaan yang mesti ditempuhi. Sebagai contoh, meskipun tanasuh merupakan sebahagian daripada elemen pembinaan akhlak Islam, seseorang da’ie perlulah memandang serius akan hal ini. Manakan sama menasihati orang yang dikenali dengan orang tidak dikenali. Perkara inilah antara yang menjadi cabaran bagi para du’at.

Kenapa perlunya tanasuh ini diterapkan dan seterusnya diamalkan dalam kalangan masyarakat? Antara sebab perlunya masyarakat menasihati dan dinasihati adalah untuk mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kehidupan jahiliah. Umum menyedari bahawa salah satu daripada rencah kehidupan masyarakat jahiliah adalah mereka hanya melihat sesuatu kemungkaran berlaku tanpa menegur perbuatan tersebut. Kesannya, kemungkaran terus bermaharajalela dan berleluasa. Selain itu, seperti yang diketahui, tanasuh merupakan salah satu komponen ukhuwah Islamiyyah yang mampu menjaga kemaslahatan umat Islam, khususnya. Justeru itu, jika tiada usaha untuk membenihkan tanasuh dalam jiwa masyarakat, dikhuatiri akan berlaku porak peranda dalam struktur kehidupan bermasyarakat, kesan daripada permasalahan yang diabaikan.

Setiap perkara mempunyai tatatertib, adab, dan peraturannya yang tersendiri. Begitu juga dengan tanasuh yang turut menggariskan beberapa adab atau panduan yang perlu dipatuhi. Imam As-Syafi’e ada menyatakan bahawa “Sesiapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka dia benar-benar menasihatimu dan sesiapa yang menasihatimu di khalayak, dia sebenarnya sedang menghinamu”. Berdasarkan kata-kata ini, jelaslah bahawa menasihati seseorang secara terbuka seolah-olah kita merendahkan maruah dan membuka aib, sekaligus mengguris hati mereka. Di samping itu, setiap bait-bait nasihat yang dilontarkan haruslah berpaksikan kepada kebenaran dan kesabaran, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Asr ayat 3 yang bermaksud; …berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar. Antara adab lain yang perlu diterapkan oleh pemberi nasihat dalam proses tanasuh adalah niat yang ikhlas, amanah dalam menjaga rahsia, bersikap lemah lembut, tidak terlalu memaksa, dan menasihati dalam keadaan yang sesuai. Manakala, si penerima nasihat pula mestilah menerima teguran dengan hati yang terbuka dan ikhlas serta berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Sejauh manakah penerapan tanasuh ini memberi impak kepada pembentukan kehidupan masyarakat yang harmoni dan sejahtera? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing. Sekiranya setiap daripada kita memainkan peranan untuk saling menasihati, maka tidak mustahil sebuah kehidupan yang bahagia, optimis, dan positif dapat dikecapi. Akhir kalam, “Ramai orang baik di dunia ini, namun jika kita tidak mampu menemuinya, jadilah salah satu daripadanya.”

Oleh  Norfatini Shamimi Arifin, Nor Rasyidah Rosdi